BATU PAHAT – Polis merakamkan percakapan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini bagi membantu siasatan kes kekecohan pada satu program Armada Bersatu Johor yang diadakan secara tertutup di Ulu Tiram, di sini, 31 Jan lepas.
Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata polis setakat ini juga sudah menahan enam individu bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata selain Syed Saddiq, turut diminta hadir untuk memberikan keterangan ialah dua lagi pemimpin Bersatu iaitu Exco Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, yang kedua-duanya ketika itu turut berada di lokasi kejadian.
“Kita (polis) akan merakamkan percakapan (Syed Saddiq) pada pagi ini dan yang lain-lain akan dibuat kemudian. Rakaman (percakapan) dilakukan di Bukit Aman dan siasatan akan dibantu Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Rengit, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor SAC Razimi Ahmad dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim.
Pada 1 Feb lepas, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata kumpulan tidak diundang sebanyak kira-kira 200 orang tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya itu dan melakukan provokasi.
Syed Saddiq menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan ‘jalan tikus’ untuk mengelak kumpulan ‘penyerang’ berkenaan selepas dinasihat penganjur dan polis.
Polis kemudian menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan itu.
Sementara itu, Salehhudin berkata berhubung kes penyebaran berita palsu berkaitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), polis kini menahan seorang lagi individu di Sabah dan akan dituduh di mahkamah minggu ini berikutan tindakannya menyebarkan berita palsu di media sosial.
Beliau berkata setakat ini pihaknya sudah menerima 21 laporan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan 2019-nCoV dengan dua individu sudah dituduh di mahkamah.
“Polis menasihati orang ramai supaya berhenti menimbulkan kegusaran kepada orang ramai. Banyak penyebaran menerusi hujung jari, jadi, kita kena waspada dengan jari-jari kita supaya tidak semberono menggunakan apa-apa butang di depan mata kita (bagi menyebarkan berita palsu),” katanya.- BERNAMA