Peguam kepada steri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Jagjit Singh turut hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini menegur peguam Datin Seri Rosmah Mansor, Jagjit Singh yang mengulangi pertanyaan kepada saksi.

Jagjit dilihat ‘agresif’ dan bernada tinggi serta mengulangi pertanyaan ‘motif’ saksi beberapa kali semasa beliau memberi keterangan terhadap Rosmah.

Mohamed Zaini mencelah dan menyoal mengapa ada pengulangan soalan kepada saksi dalam kes rasuah projek membekalkan tenaga solar hibrid kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings Sdn. Bhd.

“Mengapa anda mengulangi soalan sama kepada saksi? Berapa lama lagi kamu hendak soal saksi ini?” soal Zaini.

Jagjit kemudian memberitahu ‘sedikit masa’ lagi sebelum menyambung soalan lain.

Sementara itu, prosiding yang sepatutnya disambung selepas rehat makan tengahari ditamatkan lebih awal kerana tertuduh tidak sihat.

Jagjit menjelaskan perkara yang berlaku kepada anak guamnya itu kepada Mohamed Zaini sebelum prosiding ditangguhkan pukul 10 pagi esok.

Ketika mahkamah berhenti rehat tengah hari tadi, Rosmah masih  tidak berganjak dari kandang tertuduh.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar selepas selesai perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 FEBRUARI 2020

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah daripada Saidi Abang menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast