KUALA LUMPUR- Pertumbuhan ekonomi suku pertama 2020 dijangka terjejas akibat penularan wabak koronavirus.
Bagaimanapun, impak keseluruhan daripada wabak tersebut ke atas ekonomi Malaysia bergantung kepada tempoh masa dan penyebarannya serta langkah tindak balas dasar yang diambil oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian ekonomi, pertumbuhannya disokong oleh pelbagai sektor dan faktor.
“Saya kongsikan pandangan kami dari sudut pengumpulan data (statistik). Ekonomi Malaysia adalah sebuah ekonomi yang pelbagai, yang mana kita ada sektor pembinaan, perlombongan dan sebagainya yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan wabak berkenaan.
“Ekonomi Malaysia tidak seharusnya dinilai dari sudut impak virus tersebut sahaja sebaliknya kerajaan akan melancarkan pakej rangsangan, malah di sektor pembinaan, ada projek-projek infrastruktur yang dijangka dimulakan. Jadi ini semua boleh membantu pertumbuhan.
“Dari sudut sektor perkhidmatan, industri berkaitan pelancongan yang dilihat paling terjejas tetapi sumbangannya tidak terlalu besar kerana didominasi oleh pelancong tempatan,” katanya semasa sidang media selepas pengumuman prestasi ekonomi negara suku keempat 2019 di Bank Negara Malaysia di sini.
Untuk rekod, sektor pelancongan menyumbang 11.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan separuh daripada jumlah tersebut adalah pelancong domestik.
Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Yunus mengumumkan, bagi keseluruhan tahun 2020, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaksanaan projek pelaburan swasta yang diluluskan baru-baru ini serta perbelanjaan modal sektor awam yang lebih tinggi.
Namun demikian, masih terdapat risiko yang boleh mengakibatkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan.
Risiko-risiko tersebut termasuklah ketidakpastian mengenai keadaan luaran akibat wabak koronavirus yang sedang menular, pelbagai rundingan perdagangan dan risiko geopolitik dan juga faktor-faktor dalam negeri, termasuk kelemahan sektor komoditi dan kelewatan pelaksanaan projek.
Maka, kemeruapan dalam aliran masuk dan keluar modal serta kadar pertukaran dijangka berlaku.- MalaysiaGazette