KAJANG – Majlis Profesor Negara (MPN) menolak usaha untuk mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan negara ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose mendedahkan, tinjau oleh pihaknya daripada 560 golongan Profesor tidak bersetuju dengan isu PPSMI itu.
“MPN telah melakukan tinjauan dan seramai 560 profesor telah memberi pandangan mereka berkaitan PPSMI. Bukan senang untuk kita kumpulkan pandangan 560 profesor ini.
“57 peratus profesor tidak setuju PPSMI diperkenalkan semula dan kita tidak ambil mudah pandangan profesor ini. Jadi kita menolak PPSMI atas sebab itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perbincangan meja bulat tentang sistem pelaksanaan perwakilan berkadar (PR) di sini hari ini.
Turut hadir, oleh Pengerusi MPN, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Pada 31 Januari lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan semula PPSMI namun ia tidak menjelaskan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, ia masih belum diputuskan dan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan pendapat majoriti anggota Kabinet.
Sementara itu, Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, sistem pendidikan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya membuktikan bahasa kebangsaan mampu melahirkan graduan berjaya dalam bidang sains termasuk doktor.
Katanya, PPSMI hanya akan mengulangi hujah kegagalan dasar itu sebelum ini jika dikembalikan pelaksanaannya.
“UKM wujud sejak tahun 1970-an, semuanya diajar dalam Bahasa Melayu termasuk doktor. Apakah kita tidak mampu kerana diajar dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Dasar PPSMI pertama kali diperkenalkan pada 2003, ketika Mahathir kali pertama sebagai perdana menteri.
Ia kemudian digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2009.
Pada 2015, di bawah dasar MBMMBI, kerajaan memperkenalkan program dwibahasa (DLP) di sejumlah sekolah, dengan tujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung. – MalaysiaGazette