KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor, Safuwan Baharudin memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan perbuatannya memuat naik sebuah video yang mengaitkan dirinya dengan JDT sebelum ini.
“Kepada semua pihak, saya ingin menjelaskan diri saya di sini. Saya tidak sangka bahawa tad dan post [di Instagram Story] yang tidak bermaksud apa-apa akan menyebabkan banyak kebencian dan kekeliruan.
“Saya tidak berpindah dan saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan JDT.
“Saya tidak bermaksud untuk menyakitkan hati atau menyinggung perasaan sesiapa. Dengan itu, saya ikhlas meminta maaf dan akan lebih berhati-hati dengan apa yang saya post di masa depan,” kata pemain kebangsaan Singapura itu.
Permohonan maaf oleh Safuwan itu dilakukan selepas satu muat naik di Instagram miliknya sedang bergaya ala chef terkenal dunia, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, ketika sedang menikmati hidangan.
Muat naik tersebut turut disertakan dengan kapsyen berbunyi ‘Hanya cinta sejati, seperti bos yang sebenar.
Dia turut ditanda dalam muat naik tersebut ialah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik JDT.
Muat naik tersebut telah dikongsikan oleh TMJ di laman paparan cerita Instagram baginda.
Muat naik oleh Safuwan itu kemudiannya menimbulkan tanda tanya ramai dalam kalangan penyokong Selangor sama ada dia akan beralih angin ke selatan tanah air walaupun musim belum lagi bermula.
Pada minggu lalu, bekas pemain Pahang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Thai melibatkan tawaran amat lumayan. – MalaysiaGazette