PELABUHAN KLANG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pembinaannya dengan jajaran baharu bermula dari Nilai, Negeri Sembilan turut melibatkan laluan Putrajaya Sentral dan berakhir di Pelabuhan Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jajaran itu mengambil kira beberapa pertimbangan strategik untuk pembangunan negara, selain memikirkan masa depan pembangunan pelabuhan.
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga mengambilkira cadangan dari kerajaan Selangor agar stesen penumpang dan kargo di Jenjarum dipisahkan dengan stesen penumpang dipindah berdekatan Gamuda Cove iaitu projek pembangunan baharu negara.
“Saya datang ke Lembaga Pelabuhan Klang hari ini untuk meninjau dan melihat pentadbiran jajaran ECRL bagi Seksyen C yang melibatkan Selangor dan Putrajaya Sentral.
“Jajaran dari Negeri Sembilan ke Putrajaya Central penting kerana pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini akan menjadi bersepadu atau integrasi yang ketika ini stesen perkhidmatan KLIA Ekspres (ERL) dan akan datang MRT2,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pameran pemeriksaan awam projek ECRL di ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang hari ini.
Menurut Anthony, stesen bersepadu Putrajaya Sentral pula akan disambung ke Jenjarum sebelum masuk ke Pelabuhan Klang dan akan sampai ke West Port melalui Pulau Carey.
Kata beliau, jajaran itu telah diputuskan dengan mengambil kira beberapa pertimbangan startegik walaupun sekarang ini terminal kargo dikendalikan di West Port.
Katanya, Pulau Carey yang akan menjadi pelabuhan ketiga Malaysia dipilih kerana mempunyai potensi baik untuk memaju ekonomi negara.
“Pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey ini bagaimanapun masih di peringkat kajian dan apabila selesai (kajian), kerajaan akan mengumumkan lokasi pembinaannya.
“Jajaran yang kita telah putuskan ini, pertamanya, lebih pendek, kosnya murah dan ini juga mengambil kira pertimbangan strategik yang akan memacu kepada pembangunan dan pertumbuhan Pelabuhan Klang untuk masa depan.
“Ini akan membantu negara untuk mencapai dasar pengangkutan kita. Kita nak mengalirkan pengangkutan kargo dari jalan raya ke jalan kereta api,” kata beliau.
Beliau berkata, perancangan kerajaan ialah supaya kenderaan berat akan dikurangkan masuk ke pelabuhan untuk pengangkutan kontena dan kargo, yang mana nanti akan diangkut melalui kereta api.
Jelas Anthony lagi, walaupun Pelabuhan Klang sangat sibuk dan merupakan pelabuhan pertama di Malaysia dengan adanya ECRL akan membantunya menjadi pelabuhan mega di seluruh rantau Asia Tenggara.
Beliau turut menjelaskan, prestasi Pelabuhan Klang sepanjang 2019 mencapai pertumbuhan sebanyak 10.3 peratus.
“Di mana jumlah kendalian kargo dan kontena di West Port mencecah 10.8 juta, manakala North Port 2.7 juta dengan Pelabuhan Klang pula sebanyak 13.58 juta kontena.
“Ini merupakan satu pertumbuhan yang sangat baik untuk tahun 2019, walaupun kita tidak jangka suku pertama kita hadapi cabaran besar iaitu wabak Koronavirus, tetapi untuk 2020, kita masih yakin dan berharap Pelabuhan Klang akan terus mencatatkan pertumbuhan yang baik dari segi kendalian kargo,” katanya. – MalaysiaGazette