KUALA LUMPUR – Dalam keadaan rakyat resah dengan krisis 2019 novel koronavirus (COVID-19) – segelintir ahli politik terus taksub bercakap mengenai perkara yang tidak membantu meredakan keadaan.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming misalnya dilihat hanya mengugut kerajaan agar cepat iktiraf UEC sementara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula terus menakutkan rakyat terhadap Islam.
“Saya sendiri telah berbual panjang dengan Duta China ke Malaysia, Isnin lalu. Ya, virus ini isu yang serius,” kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataannya hari ini.
Malah, dari sudut lain, katanya, ia dikhuatiri beri impak negatif terhadap ekonomi global. Dalam situasi ini, Asean serta Malaysia pasti tidak terkecuali.
Lebih membimbangkan, impak terhadap ekonomi Asean termasuk Malaysia akibat krisis ini dijangka lebih besar dan mencabar berbanding krisis SARS pada tahun 2003.
“Ini bersandarkan beberapa faktor. Pertama, China kini antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Pada 2018 sahaja, pegangan China dalam export Asean ialah 14 peratus berbanding 6.5 peratus pada 2003.
“Manakala, pegangan China dalam KDNK dunia meningkat ke 20 peratus berbanding hanya 9 peratus pada 2003,” ujarnya.
Kedua, kata Hishammuddin, China juga antara penyumbang utama terhadap sektor pelancongan di Asean termasuk Malaysia.
“Ya, saya setuju, kita perlu sekat kemasukan rakyat China dari Wuhan, Hubei dan beberapa lagi wilayah di China yang terjejas buat masa ini tetapi pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) mesti fikir solusi agar sektor pelancongan negara tidak terjejas.
“Persoalan lebih besar ialah apakah persediaan kerajaan PH untuk memastikan ekonomi negara tidak terjejas teruk akibat krisis virus ini?
“Saya percaya, dalam keadaan sekarang, inilah yang rakyat ingin tahu. Ini baru isu koronavirus (COVID-19). Banyak lagi isu ekonomi negara yang amat membimbangkan dan saya akan terus bersuara bagi pihak rakyat, Insya-Allah,” katanya.- MalaysiaGazette