KUALA LUMPUR – Segelintir pihak khasnya dalam kalangan masyarakat India di negara ini masih lagi tidak berputus harap bagi mendapatkan keadilan untuk 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Malahan sehingga kini, kesemua individu termasuk dua pemimpin DAP iaitu Adun Gadek, G. Saminathan dan Seremban Jaya, P. Gunasekaran sehingga kini tidak berjaya memperoleh ikat jamin kerana saban kes mereka ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Alasan keputusan untuk menolak permohonan jamin terhadap tahanan ini termasuk di negara ini, LTTE masih lagi diwartakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai sebuah kumpulan pengganas yang aktif.
Pertuduhan mereka mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan perampasan mana-mana harta yang digunakan atau berhasrat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Ianya dibawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Oleh yang demikian sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tamil telah bertindak menulis petisyen untuk dihantar kepada KDN dengan mengutip tandatangan rakyat di negara ini bagi menyokong usaha berkenaan kerajaan melepaskan kesemua tahanan itu.
NGO Tamil itu telah mengemukakan dua permohonan iaitu mendesak pembatalan LTTE sebagai kumpulan pengganas di Malaysia selain menggesa Parlimen untuk segera melakukan pindaan pada Akta Sosma.
Menurut Datuk R. Rukenthiren dan M Mythreyar yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan NGO terbabit, sehingga kini sejak petisyen tandatangan sokongan dilancarkan sejak awal bulan ini, pihaknya sudah mendapat 60,000 tandatangan.
“Kita akan teruskan usaha ini sehingga mendapat sekurang-kurangnya sejuta tandatangan sebelum ianya bersama-sama dua permohonan kita dihantar kepada KDN. Kami mahukan pengadilan. Apa yang terjadi kepada tahanan-tahanan ini sangat tidak adil.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga pernah berjanji untuk meminda dan mansuh SOSMA tetapi sehingga kini kami masih ternanti-nanti juga. Yang ditahan ini bukan sahaja pemimpin DAP sebaliknya para penyokong PH yang bekerja keras untuk kemenangan pada PRU lepas.
“Kami hanya mahu mohon kepada kerajaan untuk membatalkan gazet yang mengatakan LTTE itu satu kumpulan pengganas yang masih aktif di negara ini. Kami juga mahu pindaan dilakukan secepat mungkin dengan Akta SOSMA. Tolonglah.
“Ahli keluarga 12 tahanan ini begitu menderita, mereka tidak lakukan keganasan. Kasihanlah kepada mereka ini. Kami mohon sangat-sangat kepada kerajaan.
“Kita akan teruskan kempen mendapatkan tandatangan sokongan kepada permohonan petisyen ini di seluruh negara sehingga kes ini selesai dengan keadilan berpihak kepada 12 tahanan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu sidang media khas di Sentul hari ini.
Rata-rata yang hadir hari ini selain wakil NGO Tamil, ada juga dalam kalangan keluarga tahanan hadir sidang khas itu.
Masing-masing dilihat meluah rasa sedih, kecewa dan harapan tinggi supaya kerajaan PH dapat melakukan sesuatu bagi pembebasan 12 tahanan ini.
Semalam sekali lagi Mahkamah Tinggi KL menolak salah satu permohonan ikat jamin dikemukakan ahli DAP, V. Suresh Kumar, yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang sentiasa lantang isu LTTE ini pernah berkata hakikat sebenar adalah bukan tentang penghakiman di mahkamah atau undang-undang SOSMA sebaliknya pendirian oleh kerajaan yang menjanjikan pindaan serta reformasi dalam menangani undang-undang yang ‘menjijikkan’ itu sebelum ini. –MalaysiaGazette