KUALA LUMPUR – Kewangan Islam perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem halal dan bukan sebagai entiti yang berasingan seperti diamalkan di kebanyakan negara yang industri sebahagian daripada ekonomi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) Prof Datuk Dr Azmi Omar berkata, malah, seluruh ekosistem halal perlu dilindungi untuk  emastikan prosesnya patuh Syariah secara menyeluruh dalam rantaian nilai.

“Di kebanyakan negara, ini diasingkan bermakna tiada kaitan antara kewangan Islam dan industri halal, malah apa yang perlu kita katakan ialah apabila mengenai pembiayaan, ia perlu daripada kewangan Islam.

“Dan jika anda menjadikannya sebagai satu keperluan, sepatutnya, pembiayaan Islam anda akan meningkat. Kita perlu mengisi jurang ini dengan meletakkan keperluan tersebut,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Berdasarkan angka terkini yang dikeluarkan pada Oktober 2019, perbankan Islam menyumbang sebanyak 33 peratus daripada jumlah aset perbankan Malaysia manakala bahagian pasaran takaful sebanyak 11 peratus untuk takaful keluarga dan 10.1 peratus untuk takaful am.

“Pada masa ini, di Malaysia, disebabkan cara kita menilai pensijilan halal, pembiayaan bukan sebahagian daripada penilaian,” katanya.

Azmi, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang membangunkan pelan induk ekonomi Islam untuk Indonesia, berkata negara-negara yang sedang membangunkan ekonomi Islam mereka seperti Indonesia menjadikannya wajib bahawa semua produk Islam mesti halal dalam seluruh ekosistem.

“Indonesia mula lewat, tetapi untuk pelan induk republik itu, kami menyatakan industri kewangan Islam perlu menjadi sebahagian daripada industri halal berikutan, sepatutnya, kewangan Islam adalah halal,” katanya.

Permintaan terhadap kewangan Islam akan meningkat, Azmi berkata, sebahagian besarnya didorong oleh minat yang berterusan daripada komuniti Islam dan kewangan beretika seperti bagi kewangan hijau dan kewangan mampan, terutamanya dalam pasaran baharu.

Pertumbuhan dalam industri kewangan Islam tradisional mengalami penurunan berikutan ia telah mencapai ketepuan pasaran.

“Di kawasan lain di dunia (dalam pasaran baharu), kewangan Islam terus berkembang. Baru-baru ini, di Suriname, negara itu kini mempunyai bank Islam yang dibuka pada akhir 2018. Malah, ia telah ditukar menjadi sebuah bank Islam daripada sebuah bank konvensional.

“Guyana turut merancang untuk mempunyai sebuah bank Islam. Seperti yang anda boleh lihat sekarang, kita mempunyai perbankan Islam dari benua Afrika ke Amerika Selatan,” katanya.

Sementara itu, menangani persepsi bahawa teknologi kewangan (fintech) hanya bertumpu di kawasan bandar, Azmi berkata fintech perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar, dan ini perlu disediakan di bawah keperluan patuh Syariah.

Beliau berkata walaupun penggunaan fintech dalam sistem konvensional berkembang pada kadar yang lebih cepat, ini tidak sedemikian dalam kewangan Islam.

“Kewangan Islam semakin berkembang. Misalnya, mengenai bank Islam digital, ia akan ditubuhkan di Jerman oleh Al Baraka Group, tetapi kita tidak mempunyai bank Islam digital di Malaysia atau Indonesia, untuk perkara itu,” katanya.

Azmi berkata ia akan mengambil masa untuk kewangan Islam menerima fintech sepenuhnya, sambil menambah Malaysia mempunyai syarikat fintech tempatan seperti Ethis Malaysia yang menyediakan pendanaan awam hartanah beretika di Malaysia dan Indonesia.

“Terdapat beberapa syarikat fintech yang menyediakan penyelesaian patuh Syariah tetapi jika dibandingkan dengan aplikasi konvensional, ia memberi lebih banyak tawaran.

“Tetapi perlu diingat bahawa syarikat fintech adalah kecil, tidak seperti bank yang mempunyai jabatan yang besar dan dapat meneliti semua aplikasi dan isu Syariah. Tetapi bagi syarikat fintech, mereka mungkin tidak dapat melakukannya dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette