SAYA ada seorang sahabat. Namanya Nani Rahayu Mohd. Yusuf atau lebih mesra dengan panggilan Nani.
Kisah Nani ini cukup menarik.
Sekitar tahun 80an dulu, dia hanyalah seorang gadis kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Convent Light Street, anak jati Sungai Pinang ini seperti remaja lain tidak tahu ke mana ‘arah’ hendak pergi apatah lagi dalam peperiksaan SPM itu, dia gagal!
Hanya selepas lulus kali kedua dalam SPM, barulah Nani punya sedikit semangat untuk mencari kerja dan di kilang Hewlet Packard itulah bermula segalanya.
Pada suatu hari, Nani menemankan adiknya untuk pergi ke bengkel penulisan. Adiknya itu minat hendak jadi wartawan. Kebetulan Nani juga meminati bidang yang sama. Nani masih ingat lagi ‘kelas menulis’ itu yang diadakan di KOMTAR.
Nak dijadikan, akhirnya dia pula yang dapat bekerja sebagai wartawan, bukan adiknya!
Karier kewartawanan Nani bermula apabila dia diterima sebagai wartawan kadet dengan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA).
Sejak itu Nani tidak berpaling lagi. Selama hampir 10 tahun, Nani bergelut dengan pelbagai tugasan dengan membuat liputan dalam pelbagai disiplin termasuklah berita-berita politik dan jenayah.
Namun perkahwinannya dengan seorang jejaka Amerika Syarikat membuatkan Nani terpaksa menamatkan kariernya lebih awal dalam bidang kewartawanan kerana terpaksa mengikut suaminya itu ke New York.
Di New York, Nani melihat satu peluang yang cukup besar untuk dia rebut – makanan halal!
Memandangkan memasak adalah hobi kegemarannya, dia kemudian mula berjinak-jinak dengan berniaga makanan kecil-kecilan termasuk membuat kuih raya. Malah perniagaan kuih rayanya pernah mencatat keuntungan hingga berpuluh ribu ringgit.
Namun disebabkan peraturan di Amerika Syarikat tidak membenarkan perniagaan makanan dibuat di rumah, Nani akhirnya nekad untuk membuka restoran di sana. Lebih tepat, Restoran Mamak di New York!
Ternyata tindakannya tepat pada masa.
Restoran Mamak kendalian Nani dan rakan kongsinya mendapat sambutan luar biasa sampai satu peringkat pernah mendapat tempat dalam NY Magazine.
Malah Permaisuri Brunei dan Putera Mateen pernah singgah menjamu selera di restorannya. Menteri dan rakyat Malaysia jangan ceritalah.
Dalam pada itupun, cintanya pada ilmu tidak pernah padam. Walaupun dua kali terpaksa menduduki SPM ketika di tanah air, Nani berazam untuk ‘menebus’ kegagalannya dengan melanjutkan pelajaran di bumi Uncle Sam ini.
Dalam pada kesibukan ruti hariannya, Nani tetap mencuri masa menggali ilmu dengan mendaftar diri institusi pengajian di sana termasuk di Universiti Princeton yang terkenal itu.
Bak kata pepatah, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Ternyata perniagaan restoran yang diusahakan itu tidak mampu bertahan lama. Nani buntu!
Waktu itu Nani berada dalam situasi yang cukup menyedihkan. Malah Nani mengaku dia dilanda kemurungan yang dahsyat kesan daripada kegagalan yang dialaminya.
Namun sebagai seorang Islam, Nani sedar, doa adalah senjata utama. Nani sedar, pasti ada hikmah di sebalik kegagalan tersebut.
Memandangkan cintanya pada dunia kewartawanan tidak pernah pudar, Nani mengumpul semula kekuatan untuk kembali ke bidang tersebut, dunia yang telah lama ditinggalkannya sejak melibatkan diri dalam bidang perniagaan restoran.
Pada tahun 2015, Nani akhirnya diterima bertugas di Radio Free Asia yang berpusat di Wasington D.C.
Berkat kegigihannya, Nani kini dilantik sebagai Editor Kandungan yang bertanggungjawab memantau perkembangan berita semasa di Asia terutama di Malaysia.
” Siapa sangka daripada seorang minah kilang, saya kini berada di Washington sebagai editor berita, membuat liputan melibatkan ketua negara, masuk ke White House, menulis dari bangunan United Nation dan macam-macam lagi.
” Inilah berkat sebuah penghijrahan. Bukan mudah, saya melalui fasa yang pelbagai hingga satu peringkat saya nekad ingin pulang saja ke tanah air dan buatlah apa saja pekerjaaan yang halal untuk menampung kehidupan.
” Allah maha kaya. Itu sajalah yang boleh saya katakan. Yang penting dalam apa juga keadaan kita jangan cepat mengalah, berusaha dan teruskan berusaha, InsyaAllah setiap masalah ada jalan keluarnya,” kata Nani kepada saya melalui mesej ringkas petang tadi.
Luar biasa! – MalaysiaGazette