Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, terdapat pelbagai perkara yang perlu dilihat dan dipertimbangkan, sebelum sebarang keputusan mengenai cadangan tersebut dibuat.
“Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) ada beritahu saya perkara itu (penggabungan) perlu dibincangkan lagi.
“Hendak putuskan perkara itu perlu ada sesi konsultasi, mengukur kos (dan) faedah, dari segi cadangan ia akan ambil masa, tetapi benda itu kita akan lihat dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Belum ada apa-apa keputusan lagi. Setakat ini, masih di peringkat perbincangan,” katanya selepas menghadiri Program Perhimpunan Warga Staf dan Pelajar UMT Bil 2 Tahun 2020, di UMT di sini hari ini.
Katanya pertemuan bersama Dr Mahathir itu adalah ketika sesi Pertemuan Kunjungan Hormat Naib Canselor Universiti Awam ke YAB Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis (13 Feb).
Dalam perkembangan lain Nor Aieni yang kembali menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMT berkuat kuasa Khamis lepas, menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada pihak Kementerian Pendidikan yang memberi peluang kepadanya untuk menyambung semula tugas.
“Dengan kembalinya saya di sini, diharapkan segala program yang telah dirancang bagi tahun 2020, dapat diteruskan demi kebaikan universiti dan para pelajar,” katanya.
Nor Aieni yang sebelum ini direhatkan dari menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMT berkuat kuasa 30 Dis tahun lepas, menyambung semula tugas beliau sehingga 12 April depan, iaitu tarikh asal kontrak yang telah dimeterai sebelum ini.
UMT melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporatnya pada Jumaat (14 Feb) menyatakan Dr Mahathir selaku pemangku Menteri Pendidikan, telah bersetuju menyambung semula kontrak Nor Aieni bagi melancarkan pentadbiran serta menyelesaikan urusan universiti. – MalaysiaGazette