Shahbudin Husin
Penulis Blog, Shahbudin Husin bercakap pada Siri Jelajah Agenda Reformis, Bicara Politik Semasa di Imatai Garden Cafe, Sungai Buloh, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 16 FEBRUARI 2020

SUNGAI BULOH – Parti Islam SeMalaysia (Pas) disifatkan sebagai pengampu kerana sokongan parti itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hingga habis penggal lebih daripada parti pemerintah dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut penulis blog, Shahbudin Husin, Pas tidak sepatutnya lebih sudu daripada kuah.

Sebaliknya, Pas perlu menjadi ejen semak dan imbang kepada pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Pas sepatutnya jadi semak dan imbang, bukan jadi pengampu. Jadi pengampu melebihi pihak yang ada dalam PH,” katanya berucap pada program Diskusi Politik Semasa di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli Parlimen Pas yang akan membawa usul undi percaya kepada kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Shahbudin membuat tiga syor kepada Majlis Presiden PH yang dijadualkan bermesyuarat pada 21 Februari ini berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri itu.

Antaranya menetapkan tarikh peralihan kuasa, menolak sebarang bentuk akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri kekal hingga habis penggal dan menolak usul yang akan dibawa oleh Pas.

“Mahathir sendiri tidak sebut tarikh yang tepat, dia sebut akan serah kuasa selepas selepas sidang APEC, November nanti, malah beliau hanya disebut melalui media, dia tak bincang dalam mesyuarat PH dari 2018 sampai sekarang.

“Kita pelik majlis presiden yang mesyuarat setiap bulan tidak mesyuarat seperti biasa, kali terakhir pada November 2019,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 138 ahli Parlimen telah menandatangani dokumen SD bagi menyokong Dr Mahathir agar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Antara 138 SD itu membabitkan 18 ahli Parlimen PAS, 26 ahli Parlimen PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 Ahli Parlimen UMNO dan 26 ahli Parlimen PPBM. – MalaysiaGazette