Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed (tengah) bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), SAC Mior Faridalathrash Wahid (dua kiri) serta yang lain menunjukkan barang milik kumpulan AYT99 yang berjaya dirampas hasil penangkapan kumpulan tersebut pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan diambil keterangan dalam masa terdekat berkaitan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bagaimanapun tidak memberikan tarikh yang tepat kedua-dua individu itu akan dipanggil.

Beliau juga yakin, siasatan rakaman audio tersebut akan dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini.

“Saya pasti sebelum hujung bulan ini kita akan mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media JSJ di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kedua dua individu itu akan dirakam keterangan secara bersama atau berasingan seperti didedahkan timbalannya minggu lalu, Huzir berkata: :Kita akan selesaikan kes berkenaan dalam masa terdekat lagi sebelum akhir bulan.”

Huzir enggan mengulas lanjut dalam perkara berkaitan walaupun cuba ditanya bertalu-talu mengenai tempoh masa spesifik kedua dua individu itu akan dipanggil ke Bukit Aman.

Pada 12 Februari lalu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan dan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya sedang mendapatkan tarikh sesuai membolehkan Najib dan Rosmah hadir ke Bukit Aman minggu ini memberi keterangan.

“Polis akan mengambil keterangan mereka minggu depan namun kita tunggu tarikh sesuai untuk Najib dan Rosmah tampil ke Bukit Aman memandangkan mereka sibuk dengan prosiding mahkamah,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semasa pendedahan audio itu berkata individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu dikenalpasti sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan Rosmah dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – dari Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast