KUALA LUMPUR- Keluarga warga Indonesia, Ruth Sitepu yang hilang bersama suaminya, Joshua Hilmy sejak 30 November 2016 menaruh harapan terhadap sistem keadilan negara ini dalam menjejaki semula ahli keluarga mereka.
Adik bongsu Ruth, Iman Setiawan Sitepu dan adik kelimanya, Ram Ram Elizabeth berkata, keluarganya sangat rindu terhadap kakak kandungnya dan masih menaruh harapan terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia untuk mengesannya walaupun belum ada sebarang petunjuk.
“Kami sekeluarga sangat rindu dan sayang kepada mereka, kali terakhir kami pernah cuba menghubunginya (Ruth) adalah pada hari dia dilaporkan hilang tetapi tidak dapat sebarang maklumbalas.
“Kami juga tidak kenal kawan-kawan dia di sini memandangkan dia seorang sahaja yang ke Malaysia dan kerja di sini.
“Setahu kami, jika dia hubungi kami di Indonesia tidak pernah mengadu ada apa-apa masalah sebaliknya dia akan kata dia gembira,” katanya kepada pemberita selepas sesi inkuiri awam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Kata Iman Setiawan, mereka terbang ke Malaysia semalam selepas diminta hadir ke sesi inkuiri oleh peguamnya dan akan pulang semula ke Indonesia pukul 5.30 petang esok.
Manakala Ram Ram pula dengan sebak sambil memegang gambar kakak dan abang iparnya menaruh harapan pasangan itu dapat dicari semula dengan selamat.
“Kami harap kakak kami dapat ditemukan semula dan pada satu masa kalau dia ditemukan dalam apa jua keadaan sekali pun kami sedia menerima dia semula sebab kami sangat sayang pada dia.
“Saya percaya semua pihak berkuasa di negara ini dan sistem keadilan Malaysia dapatkan kakak kami serta suaminya semula,” ujarnya.- MalaysiaGazette