CARACAS – Venezuela akan menggantung operasi penerbangan Portugal TAP Air ke negara ini kerana membenarkan bapa saudara pemimpin pembangkang Juan Guaido membawa bahan letupan ke dalam pesawat ke Caracas minggu lalu.
Naib Presiden, Delcy Rodriguez tidak menolak akan mengenakan denda atau tindakan lain ke atas syarikat penerbangan itu.
“Venezuela perlu dihormati,” kata Rodriguez menerusi Twitter.
Guaido yang tiba di lapangan terbang utama Venezuela dengan penerbangan TAP pada Selasa lalu selepas lawatan antarabangsa selama tiga minggu yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan mengusir Presiden Sosialis Nicolas Maduro
Pihak berkuasa kemudian menahan bapa saudara Guaido, yang bersamanya dalam penerbangan dari Portugal, menuduh dia membawa balik bahan letupan.
Guaido, yang diiktiraf sebagai Presiden Venezuela yang sah oleh lebih daripada 50 buah negara, menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas.
TAP dalam satu kenyataan pada hari Isnin itu memaklumkan syarikat itu mematuhi semua keperluan undang-undang dan keselamatan oleh pihak berkuasa di Portugal dan Venezuela dan tidak memahami sebab-sebab penggantungan itu.
“Ini merupakan langkah serius yang membahayakan penumpang kami, tanpa memberikan peluang kepada syarikat untuk membela diri,’ kata TAP.
Jumaat lalu, Kerajaan Portugal berkata, ia akan membuka satu siasatan terhadap insiden berkenaan berhubung tuduhan Venezuela. – MalaysiaGazette