Akhbar China Daily antara media China yang dikenakan peraturan baru oleh Amerika Syarikat. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan mula melaksanakan peraturan baru kepada lima entiti media utama China di sini, sama seperti operasi kedutaan asing.

Lima media itu ialah agensi berita Xinhua, China Global Television Network, China Radio International, China Daily Distribution Corp. dan Hai Tian Development USA, Inc.

Media-media terbabit perlu mendedahkan jadual kakitangan dan keputusan pengambilan dan pemberhentian pekerja serta mendaftar hartanah mereka yang dibeli atau disewa di AS kepada Jabatan Negara.

Syarikat-syarikat itu juga perlu mendapatkan kelulusan lanjutan sebelum mereka menyewa atau membeli hartanah baru di AS.

Langkah-langkah yang dibuat ini bagi membolehkan AS memahami operasi syarikat-syarikat media tersebut.

Dua pegawai kanan Jabatan Negara memberitahu, keputusan itu dibuat kerana China telah mengetatkan kawalan terhadap media AS dan Presiden Xi Jinping telah menggunakan media-media tersebut secara agresif untuk menyebarkan propaganda Beijing.

“Kawalan ke atas kandungan dan kawalan editorial hanya mengukuhkan tempoh Xi Jinping berkuasa. Mereka ini sebenarnya adalah senjata propaganda Parti Komunis China (PKC),” katanya.

Keputusan itu telah dimaklumkan oleh Jabatan Negara kepada lima entiti berkenaan melalui sepucuk surat pada hari Selasa.

Kawalan China ke atas media-media negara itu telah menjadi semakin ekstrem,” menurut sumber kedua yang enggan nama didedahkan.

Ketegangan antara kedua-dua kuasa besar itu telah meningkat sejak Presiden Donald Trump memimpin AS tiga tahun lalu, bermula dengan pertikaian tarif perdagangan.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat itu tidak ada kaitan dengan isu perdagangan.

China Daily adalah akhbar berbahasa Inggeris yang diterbitkan oleh PKC dan Hai Tian Development USA mengedarkan People’s Daily, akhbar rasmi Jawatankuasa Pusat PKC. – MalaysiaGazette