Bangunan UMNO Selangor

KUALA LUMPUR – Cadangan penjualan mercu tanda UMNO Selangor di Shah Alam sebenarnya bukan sesuatu yang memudaratkan, jauh sekali untuk menguburkan parti Melayu itu, lebih-lebih lagi sudah tiga penggal masih gagal merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dan kini Pakatan Harapan (PH).

Menurut sumber dalaman UMNO, isu penjualan itu sengaja digembar-gemburkan pihak tertentu untuk mencalarkan imej pucuk pimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Selangor, sedangkan cadangan itu telah dibuat dan dipersetujui secara bersama oleh kepimpinan terdahulu.

Serangan demi serangan yang dibuat segelintir Ketua Bahagian UMNO Selangor termasuk terkini oleh bekas Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim didakwa mempunyai agenda peribadi.

Sumber mendakwa, tindakan Mohd Isa membuat kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam baru-baru ini sebenarnya dilakukan tanpa mengambil kira aspek teknikal fizikal dan keselamatan bangunan itu.

Secara teknikal, bangunan tersebut sudah tidak selamat untuk diduduki susulan penyelenggaraan terhadap lif-lif sedia ada tidak dilakukan dengan sempurna sejak 2017, manakala komponennya pula tidak ditukar ganti sejak 2013.

Sumber menyifatkan permohonan kaveat itu dilakukan secara membuta-tuli tanpa merujuk kepada aspek teknikal dan keselamatan sama ada kepada kepada kakitangan mahupun pengunjung yang berurusan di bangunan parti itu.

Cadangan penjualan itu menjadi lebih relevan apabila sistem pendawaian elektrik dalam keadaan uzur dan tidak pernah dilakukan sejak 20 tahun lalu dan sekiranya terus diduduki akan mengundang risiko kebakaran.

“Suruhanjaya Tenaga tidak memperbaharui lesen pepasangan elektrik sejak awal 2018 di bawah pengurusan lama juga. Oleh itu, faktor keselamatan setiap kakitangan perlu dititikberatkan supaya perkara yang berisiko tinggi ini dapat dielakkan,” kata sumber kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Selain itu, sistem keselamatan kebakaran bangunan tersebut sudah luput sejak 2016 turut mengancam nyawa sekiranya berlaku kebakaran.

Jelasnya lagi, masalah-masalah seperti bekalan air, kerosakan penghawa dingin berpusat (Central Cooling Tower) dan kebocoran bumbung bangunan tersebut turut memberi kesan.

“Ini bukan soal maruah, ini soal kelangsungan UMNO. Apa gunanya ada bangunan kalau kita tidak boleh mendudukinya,” kata sumber.

Dalam pada itu, menyentuh soal penjualan itu dipersetujui oleh kepimpinan baharu dan lama, sumber berkata, tidak sepatutnya ada mana-mana pihak menyalahkan barisan Badan Perhubungan UMNO Selangor sekarang di bawah pimpinan pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

“Hanya 4 orang Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Selangor yang tidak bersetuju dengan penstrukturan semula aset UMNO Selangor yang melibatkan Pembelian Bangunan UMNO Selangor yang baharu di Seksyen 7, Shah Alam dan pencairan aset di Bangunan UMNO Selangor, Seksyen 14, Shah Alam.

“Penstrukturan semula aset UMNO Selangor ini bertujuan untuk memberi nafas baru dan penjenamaan semula kepada UMNO Selangor dalam menghadapi dan memulakan gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta dapat memberi aliran tunai yang positif kepada pentadbiran,” jelas sumber.

Dedah sumber, segala cadangan penjualan dan pembelian aset UMNO Selangor itu dipersetujui majoriti Ketua-Ketua Bahagian UMNO dan membabitkan seorang bekas Menteri Besar Selangor, dan dua bekas Pengerusi Badan perhubungan UMNO Selangor itu.

“Pihak Pengurusan UMNO Selangor telah mengadakan perjumpaan dan meminta pandangan daripada 22 Ketua Bahagian, sayap-sayap, selain figura umum dalam parti mengenai penstrukturan semula aset UMNO Negeri Selangor.

“Pada mesyuarat itu, mereka bersetuju akan keputusan tersebut atas alasan kelangsungan pentadbiran UMNO Negeri Selangor,” kata sumber lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast