Datuk Mohd Ridzuan Abdullah
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas) akan menyerahkan bukti salah laku rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembinaan tapak sementara UpTown Danau Kota di sini.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, kerja-kerja pembinaan tapak yang bernilai lebih RM2 juta dianugerahkan secara rundingan terus tanpa melalui tender terbuka sebagaimana yang disyaratkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi dalam isu ini Ikhlas juga akan bawa dan heret isu ini kepada SPRM. Segala bukti kita hantar kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad (pada 4 Februari 2020), (lepas ini) kita akan bagi kepada SPRM.

“Biar SPRM siasat pemimpin yang terlibat. Itu syarikat pemimpin parti politik kerajaan sedia ada. Itu sudah salah. Bila kita nak dedah, sikit-sikit orang nak saman.

“Saya bukan nak main politik, saya nak bela rakyat,” katanya pada sidang media di Warung Kita Danau Kota, di sini, hari ini.

Ikhlas Malaysia
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) bersama peniaga menunjukkan memorandum dan cadangan tapak peniaga selepas sidang media berkenaan nasib 320 peniaga Uptown Danau Kota di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2020

Sebelum ini, tapak sementara peniaga UpTown Danau Kota, di sini yang dikenali sebagai Bazaria Wangsa Maju dibina membabitkan kos lebih RM2 juta menerima rungutan banyak peniaga.

Antaranya rungatan peniaga ialah pencemaran bau kerana tapak niaga itu dibina di atas bekas tapak loji rawatan kumbahan, masalah air bertakung, kawasan berdebu ketika musim panas dan sistem saliran yang tidak sempurna.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan juga tidak menolak kemungkinan akan menyerahkan dua penama yang didakwa terlibat dalam pemberian projek pembinaan tapak niaga itu secara rundingan terus.

“Saya akan dedahkan dua penama, satu adalah wakil rakyat dan satu lagi kontraktor yang menerima projek ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan mendedahkan butiran syarikat dimilik oleh seorang ahli politik yang turut diberikan kerja-kerja membuat bancian ke atas peniaga-peniaga UpTown Danau Kota dengan bayaran yang lumayan.

“Syarikat yang membuat bancian ini satu kepala dia dapat bayaran RM50 sebagai upah. Kalau 500 peniaga, bayangkanlah berapa dia dapat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan juga mendedahkan seramai 37 daripada 320 peniaga-peniaga UpTown Danau Kota yang ditolak permohonan rayuan bagi mendapatkan tapak niaga di Bazaria Wangsa Maju.

“Kelmarin kita jumpa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mereka tengah balas surat dan makluman awal kita terima, sebanyak 37 rayuan telah ditolak,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. aik muka sama je dari haritu.. sume dah selesa duduk atas korang yg xnak naik sapa suruh. x dpt tapak sapa suruh sewakan kat org dah terang2 slh. org da bg niaga tmpat elok.. nak ajak org niaga kat kaki lima balik sapa yg nak? yg da ada kedai shoplot bwh sibuk nak fight. yg nk jatuhkan mlyu nilah org mlyu sndiri yg sibuk mendengki. aku tahu crite sbnr sbb rmh aku dkt je situ. golongan ni lah asyik nk tipu rkyat kononnya bela peniaga padahal dia ni lah musuh peniaga. aku tgk tmpt baru lg cntik brbnding kaki lima kotor jalan raya korang kejekan.

Comments are closed.