KUALA LUMPUR – Tidak lama selepas penglibatannya dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi, Telekom Malaysia Berhad (TM) memperluaskan rangkaian 5G di bangunan ibu pejabatnya di Menara TM di Kuala Lumpur.

Dengan perluasan ini, Menara TM mampu membawakan perkhidmatan 5G kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin Kumpulan berkata, inisiatif ini membuktikan komitmen TM dalam melaksanakan rangkaian teras 5G bersepadu secara progresif ke arah memacu penyediaan perkhidmatan ini di seluruh negara.

Menurutnya, fokus TM pada tahun ini untuk menjadi sedia-5G agar bersesuaian dengan peningkatan sambungan mudah alih, IoT, perkhidmatan awan, dan peranti pintar.

Sebelum spektrum mula tersedia pada akhir tahun ini, TM sedang bersiap sedia menjalankan ujian 5G secara langsung sepenuhnya menerusi 5GDP di samping terus menaik taraf rangkaian teras TM, katanya.

“Sebagai penyedia rangkaian infrastruktur nasional untuk aspirasi Negara Digital, kami telah mewujudkan tunjang komunikasi negara dengan sambungan dan rangkaian bersepadu terluas.

TM, kata beliau, akan terus membina asas kepada Revolusi Perindustrian 4.0 dan pelaksanaan 5G di seluruh negara – memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan gaya hidup yang lebih digital, perniagaan dan vertikal industri digital, serta
kerajaan digital ke arah mempertingkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

TM, bersama-sama dengan cabang penyelesaian perniagaan dan sektor awamnya – TM ONE, serta cabang inovasinya – TM R&D Sdn Bhd (TM R&D), sedang melaksanakan ujian 5G secara langsung sepenuhnya menerusi penglibatan dalam 5GDP kelolaan SKMM di Subang Jaya, Selangor dan Pulau Langkawi, Kedah.

Menurutnya, apabila industri bersiap sedia untuk gelombang pelaburan infrastruktur berikutnya bagi mendukung kes-kes gunaan 5G dan selari dengan meningkatnya permintaan jalur lebar mudah alih, TM terus aktif melakukan ujian ciri-ciri baharu 5G, meneroka teknologi 5G menerusi penyelesaian pintar dan kes-kes gunaan berkeupayaan 5G serta menilai cara terbaik untuk melaksanakan infrastruktur 5G ke seluruh negara.

Menerusi 5GDP TM, kumpulan ini mencatatkan beberapa pencapaian pertama untuk Kumpulan dan negara di rantau ini apabila TM adalah telco pertama di dunia yang melaksanakan 700 MHz dan C-Band (3.5 GHz) menerusi rangkaian 5G Kendiri (Standalone – SA) khusus secara serentak.

SA merupakan masa depan pelaksanaan rangkaian 5G dan demonstrasi ini amat penting untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G di negara ini. TM turut menjadi yang pertama di negara ini yang mewujudkan Pusat Kawalan 5G (5GCC) di Langkawi, melaksanakan Rangkaian Teras 5G (5G Core Network –
5GC), 700MHz dan Rangkaian 5G SA 3.5 GHz khusus dan Rangkaian Akses Radio (RAN) berpusat 5G.

Syarikat turut berjaya mencatatkan 1.5Gbps untuk ujian kepantasan 5G yang dijalankan di tapak-tapak kes gunaan 5Gnya.

Noor Kamarul menambah, menerusi 5GDP, TM telah melengkapkan Langkawi dengan 5G, menjadikannya sebagai Pulau Pelancongan Pintar pertama di dunia. – MalaysiaGazette