Baru Bian

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan penjimatan sebanyak RM2.865 bilion dalam melaksanakan projek Lebuhraya Bon Borneo Sarawak berikutan perbezaan keseluruhan kos pembangunan di antara model Rakan Pelaksana Projek (PDP) dengan kaedah konvensional

Kos baharu bagi projek tersebut dijangka sebanyak RM18.992 bilion, bagaimanapun kos muktamad hanya akan diketahui selepas penilaian keseluruhan dibuat, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau memaklumkan perkembangan terbaharu itu selepas penamatan kontrak syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai PDP berkuatkuasa hari ini, seterusnya melaksanakan kaedah konvensional dengan kerjasama kementerian itu dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak sebagai Pegawai Penguasa.

“Kementerian Kerja Raya mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek ini menerusi modul konvensional dengan kerjasama JKR Sarawak sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer – SO) dan Wakil Pegawai Penguasa (Superintending Officer Representative – SOR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hala Tuju Lebuhraya Pan Borneo Sarawak hari ini.

Untuk rekod kos sebelum kontrak PDP ditamatkan adalah RM21.857 bilion.

Katanya, melalui kaedah konvensional, JKR akan menjadi Jurutera Perunding Bebas (Independent Consulting Engineer – ICE) dalam memberikan khidmat nasihat kepada KKR.

Pengauditan berkala juga akan dilakukan demi memastikan pelaksanaan  mematuhi spesifikasi.

“JKR Sarawak akan bertanggungjawab untuk memantau dan mengawal selia pelaksanaan projek serta menguruskan pentadbiran kontrak,” menurut beliau.

Dengan hala tuju baharu ini, Baru Bian memberi jaminan bahawa pembinaan projek LPB Sarawak akan diteruskan tanpa mengabaikan Pelan Pengurusan Trafik dan penyenggaraan semasa pembinaan.

“Ia akan ditambah baik melalui pemantauan secara langsung dan berterusan oleh KKR dan JKR Sarawak,” katanya lagi.

Mengulas mengenai penamatan kontrak, kerajaan ujar beliau akan menyerap masuk kebanyakan pekerja  daripada syarikat sebelum ini namun keutamaan  diberikan kepada orang tempatan.

Dari aspek pampasan pula, KKR ujarnya masih belum keputusan belum dimuktamat kerana perbincangan dengan syarikat LBU mengenai perkara itu masih berlangsung. -MalaysiaGazette