KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik yang melibatkan perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang semalam berpunca daripada kerosakan kabel di antara pencawang masuk utama (PMU) Kajang dan stesen suis utama (SSU) MRT Kajang akibat kerja-kerja pengorekan oleh pihak ketiga.

Tenaga Nasional Berhad berkata, kerja-kerja memulihkan semula bekalan dibuat dengan menggunakan saluran alternatif lain dan bekalan pulih sepenuhnya pada 1.19 petang.

Bagaimanapun, kerja-kerja membaiki kabel yang rosak sedang giat dijalankan.

Walaupun perkara ini bukan pertama kali berlaku, TNB sekali lagi memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan agar merujuk terlebih dahulu kepada TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat.

Ini boleh mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpamanya berlaku lagi, katanya. – MalaysiaGazette