KUALA LUMPUR- Menteri Industri Utama, Teresa Kok gembira kerana harga minyak sawit tidak terjejas akibat penularan Covid-19.
“Walaupun sektor pelancongan dan beberapa sektor lain terjejas teruk disebabkan penularan koronavirus namun harga minyak sawit masih kekal di sekitar RM2,700-RM2,800 setan metrik.
“Saya gembira ianya tidak memberi kesan besar kepada harga minyak sawit,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran Program biodiesel B20 di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, dengan Program Biodiesel B20 penggunaan minyak sawit dijangka bertambah kepada 1.3 juta tan minyak sawit setahun jika digabungkan dengan program B7 dan B10 yang telah dilaksanakan lebih awal.
Kerajaan telah melaksanakan penggunaan mandatori B10 di sektor pengangkutan pada 1 Februari tahun lepas manakala B7 di sektor industri bermula 1 Julai 2019.
Tambah Teresa, dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh negara mengikut pelan pelaksanaan Program Biodiesel B20.
Di bawah program tersebut, penggunaan B20 di sektor pengangkutan dimulakan di Langkawi dan Labuan bermula Januari 2020 dan akan diperluaskan ke Sarawak pada April 2020, Sabah (Ogos 2020) dan seluruh semenanjung pada Jun 2021.
Dalam perkembangan berbeza, Teresa berkata, kementeriannya sedang memuktamadkan kertas cadangan berhubung pakej rangsangan ekonomi sebelum dihantar ke Kementerian Kewangan.
Antara fokus Kementerian Industri Utama katanya, adalah kaedah untuk membantu pekebun kecil yang terjejas akibat Covid-19.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka membentangkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini. -MalaysiaGazette