WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berharap China akan menghormati komitmennya untuk membeli lebih banyak barangan dari negara ini di bawah perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh dua ekonomi terbesar di dunia pada bulan Januari lalu walaupun Beijing sedang bergelut dengan wabak koronavirus.

Pegawai Perbendaharaan AS berkata, masih terlalu awal untuk membuat ramalan yang tepat terhadap kesan virus itu kepada ekonomi global.

Tetapi senario kes dasar melihat kepada pertumbuhan China yang jatuh pada suku pertama, kemudian pulih dengan mendadak.

Kesan itu boleh menjadi lebih signifikan sekiranya wabak itu bertambah buruk, kata pegawai itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Tabung Kewangan Antarabangsa pada minggu ini berkata, wabak itu telah mengganggu pertumbuhan ekonomi di China dan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi “yang sangat rapuh” pada tahun 2020 jika ia merebak ke negara-negara lain.

Ditanya jika wabak itu memerlukan perubahan pada perjanjian perdagangan fasa 1 dengan China, pegawai itu memberitahu: “Pada tahap ini, kami tidak berharap ada perubahan pada pelaksanaan fasa 1. … kami masih mengharapkan China dapat memenuhi komitmen mereka, tetapi ia adalah berada dalam tempoh masa”.

Di bawah perjanjian yang berkuatkuasa pada bulan ini, China berjanji untuk meningkatkan pembelian barang AS sebanyak AS$ 77 bilion pada 2020 dan AS$ 123 bilion menjelang 2021, berbanding paras import AS dari tahun 2017, tahun sebelum perang tarif AS-China bermula.

Namun, pakar-pakar menyatakan keraguan bahawa China dapat memenuhi komitmen pembelian agresif tersebut.

Tetapi akhbar Global Times melaporkan pada hari Khamis bahawa China kemungkinan akan membeli 10 juta tan gas asli cecair AS walaupun bekalannya berlebihan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin akan membincangkan kesan ekonomi wabak ini dengan para pegawai kanan kewangan dan bank pusat dari 20 ekonomi terbesar dunia (G20) di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, Sabtu dan Ahad ini.

China pada hari Rabu berkata, negara itu tidak menghantar pegawai kanan bank pusat dan pegawai kewangan ke mesyuarat itu kerana penularan wabak tersebut.

Tetapi, Beijing akan diwakili oleh pegawai peringkat rendah.

Mnuchin dan pegawai G20 yang lain juga akan membincangkan usaha-usaha yang sedang dijalankan dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Pembangunan dan Ekonomi bagi merangka peraturan antarabangsa yang baru untuk cukai, dengan tujuan merapatkan “jurang yang ketara” dan mencapai konsensus pelbagai hala tahun ini, kata pegawai itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast