Kenaikan harga bawang menyumbang kepada lonjakan IHP pada bulan Januari. Gambar : Noor Asrekuzairey Salim

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.6 peratus pada Januari 2020 kepada 122.4 berbanding 120.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks pengangkutan (3.9%), pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.7%), pendidikan (1.7%) dan komunikasi (1.5%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, purata harga RON 95 yang lebih tinggi pada bulan Januari 2020 iaitu RM2.08 per liter berbanding RM1.98 pada Januari 2019 telah menyumbang kepada kenaikan indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan kenaikan harga kepada RM2.58 per liter berbanding RM2.28 manakala Diesel meningkat kepada RM2.18 per liter daripada RM2.12 pada bulan yang sama tahun lepas.

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding Disember 2019 dan peningkatan ini disokong terutamanya oleh pendidikan (0.4%), pelbagai barangan & perkhidmatan (0.4%), kesihatan (0.2%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.2%).

Menurutnya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol meningkat 0.9 peratus pada Januari 2020 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan sub kumpulan sayur-sayuran (5.7%), keluaran makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (1.8%) dan ikan & makanan laut (1.2%).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah bawang kecil (35.1%), bawang putih (24.6%) dan bawang besar (22.9%), ujarnya.

Indeks makanan di luar rumah meningkat 1.7 peratus pada Januari 2020 berbanding Januari 2019. dan kenaikan harga bagi makanan berlauk udang, burger dan nasi lemak telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.

Tiga negeri iaitu Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.8%) dan Johor (1.8%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 1.6 peratus pada Januari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Semua negeri kecuali Kelantan mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.4%) diikuti oleh Johor (1.3%), Pulau Pinang (1.1%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.0%) dan Perak (1.0%) dan ia melebihi paras nasional 0.9 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada Januari 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast