Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Tiada peralihan kuasa ditentukan di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

Itu pandangan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang membuat jangkaan mengenai hasil mesyuarat yang akan berlangsung di Putrajaya malam ini.

Menurutnya, perkara itu jelas termaktub di dalam Fasal 1.2 Perjanjian PH iaitu segala keputusan di dalam PH “adalah berasaskan prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam PH perlulah bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu”.

“Di dalam keadaan hanya tiga buah parti di dalam PH sahaja yang bersetuju dengan sesuatu keputusan yang hendak dibuat tetapi sebuah parti di dalam PH tidak bersetuju dengannya maka keputusan itu tidak boleh dibuat dan jika dibuat juga akan menjadi tidak sah.

“Satu cara untuk keputusan itu dibuat ialah dengan menggunakan Fasal 7.2 yang membolehkan tiga buah parti yang berkenaan “membuat keputusan untuk menggugurkan keanggotaan parti yang membuat tindakan yang melanggar Perjanjian PH itu dari PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Kamaruzaman mempersoalkan, beranikah tiga buah parti yang berkenaan mengambil tindakan nekad dan drastik untuk menggugurkan keanggotaan parti yang tidak bersetuju itu.

Ujarnya, jika berlaku sekalipun, keputusan sebulat suara masih tidak akan dicapai jika di dalam tiga buah parti berkenaan terdapat pemimpin yang tidak bersetuju.

Majlis Presiden PH akan bersidang malam ini selepas kali terakhir bermesyuarat pada November tahun lalu.

Mesyuarat itu sebelum ini dikatakan akan membincangkan isu peralihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette