KUALA LUMPUR – Kehadiran Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor hadir di Hotel Sheraton Petaling Jaya dekat sini yang menjadi lokasi mesyuarat beberapa pemimpin PKR menguatkan lagi desas-desus berlakunya ‘kerajaan baharu.’
Ketika ditemui wartawan, Ku Nan berseloroh yang kedatangannya kerana mahu meminum kopi.
Tidak lama selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula datang dan berkata, kehadirannya kerana dipanggil namun tidak begitu pasti intipatinya pertemuan.
Sambil tersenyum beliau berkata; “Sabar dulu.”
Turut kelihatan ialah bekas ahli seumur hidup PKR, Chegubard.
Wartawan MalaysiaGazette difahamkan lebih ramai pemimpin UMNO dan Pas akan tiba di Hotel Sheraton malam ini.
Sumber-sumber berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berada di Istana Negara kini dan akan menyusul ke hotel yang sama tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri pula mengatakan tidak ada sebarang sidang media tergempar oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas tular dalam kalangan wakil media yang Perdana Menteri akan membuat sidang media di Hotel Sheraton malam ini.
Kemungkinan besar, sidang media akan dibuat oleh Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: