PETALING JAYA – Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen yang berlangsung di Hotel Sheraton di sini bukan makan malam biasa.
Walaupun ia berakhir dengan semua majoriti pimpinan parti kerajaan dan pembangkang yang menghadirinya “mengunci mulut” namun ia dapat dibaca ia ada kaitan dengan desas-desus penubuhan kerajaan baharu.
Rata-rata mereka yang ditemui media hanya sekadar melemparkan senyuman dan berlalu sambil ada yang mengatakan kehadiran mereka sekadar memenuhi jemputan makan malam.
Majlis yang bermula pukul 8 malam itu menjadi tumpuan media serta penyokong parti-parti politik iaitu UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebahagian penyokong PKR.
Antara pimpinan parti yang hadir iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut kelihatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selain wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional lain.
Terdahulu, dilaporkan Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir ke majlis tersebut namun kelibatnya tidak kelihatan sehingga akhir majlis. – MalaysiaGazette