Reaksi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 21 Februari lalu.Foto AFIQ RAZALI.

‘I kena sabar tahap dewa’

Itu gurauan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bersalaman selepas usai mesyuarat Pimpin Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya baru-baru ini.

Bunyi lucu namun maksudnya mendalam.

Sebelum itu, semasa sidang media, Anwar menjelaskan, dia perlu bersabar dan akur keputusan dan terpulang kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Suasana nampak tenang namun ada elemen ketegangan jika dilihat satu-satu pada muka pimpinan utama PH yang lain.

Situasi itu sempat dirakam oleh wakil-wakil media yang membuat laporan lintas langsung.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nation pula kelihatan cepat-cepat bersalam dengan Anwar sambil kelihatan ‘menenangkan’ bosnya yang hanya tersenyum.

Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nampak tersenyum kelat ketika itu dan ketika disapa menegaskan, mesyuarat berjalan secara demokratik.

“Semua orang diberi peluang bercakap dan itu punca mesyuarat lebih tiga jam diadakan,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin pula ‘bergegas’ keluar dan didakwa mengadakan mesyuarat lain pula.

Itu situasi malam berkenaan. Walaupun kekal status quo – mengekalkan Mahathir sebagai PM – namun masing-masing nampaknya sudah mengeluarkan isi hati masing-masing.

Reaksi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pada Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 21 Februari lalu.Foto SYAFIQ AMBAK.

Difahamkan, setiap wakil parti mengemukakan ‘senjata’ masing-masing pada mesyuarat berkenaan dan keputusan berdasarkan pertimbangan perang – siapa yang kalah harus akur.

Namun yang penting, di luar ia mesti seperti ‘menarik rambut dalam tepung’ jika tidak imej akan musnah di mata masyarakat.

Ia sedikit sebanyak mengingatkan kita peristiwa lebih dua dekad lalu ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang memutuskan memecat Anwar yang menjadi panas di PWTC sebelum ‘merebak’ ke jalanan.

Ketika itu, Mahathir merupakan Presiden UMNO.

Kali ini kedua-dua mereka masih orang yang sama namun parti dan situasi berbeza.

Sebelum mesyuarat, Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Rais Yatim ada ‘membayangkan’ sesuatu akan berlaku namun tidak menyatakannya secara detail.

Pas pula lewat petang semalam menyatakan usul percaya kepada Mahathir tidak diteruskan pihaknya, alasan kerana tidak ada cubaan ‘menjatuhkan’ Mahathir secara tidak demokratik.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pula memuatnaik status, “Ada orang kena game semalam. Terpulang. Kita terhibur sikit.’

Selain isu usul percaya mati begitu sahaja, tiba-tiba gambaran perpecahan UMNO yang dikaitkan dengan Pakatan Nasional yang menyokong Mahathir juga seakan-akan sudah hambar.

Malah semalam dan hari ini UMNO dan Pas mengukuhkan kerjasama dengan mengadakan pemukiman di Janda Baik dan Najib menghadirinya.

Hari ini juga ada mesyuarat Bersatu dan dikatakan ada mesyarat MT UMNO yang dilihat agak dibuat secara mengejut.

Persoalan, ada lagi keputusan yang benar-benar mengejut kali ini?

Namun itulah politik, jika mahu faham kena lihat dari mata burung! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Setelah mempengerusikan mesyuarat yang dikatakan sangat tegang, ugut mengugut, akhirnya Atok boleh tidur nenyak setelah mendapat EXTENSION OF TIME untok tempoh 3 tahun lagi!

    Tidak timbul soal sabar tahap dewa setelah anda sendiri berikan hak itu kepada Atok! Janganlah jadi seperti pepatah rumah siap pahat berbunyi, suka cakap belakang2?

    Kah..kah..kah..

Comments are closed.