Tun Dr Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 08 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Apakah krisis pentadbiran kerajaan yang semakin memuncak sekarang berakhir dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut laporan portal The Malaysian Insight, surat peletakan jawatan Perdana Menteri itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) pula dalam maklum balas ringkas memberitahu, satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Terkini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan parti tersebut keluar daripada Pakatan Harapan.

Pagi tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohammad Sabu mengadakan pertemuan kira-kira dua jam bersama Perdana Menteri di kediamannya.

Dalam pada itu, PKR yang mengadakan mesyuarat tergempar sebentar tadi mengumumkan pemecatan jawatan Timbalan Presidennya Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin atas alasan melakukan pengkhianatan terbuka.

Sejak malam kelmarin, puluhan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya bertebaran di media sosial yang memberi gambaran sesuatu yang besar akan berlaku.

Manakala awal pagi semalam bahang mula terasa apabila lima buah parti lima parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, Pas  dan GPS masing-masing mengadakan mesyuarat peringkat pemimpin tertinggi dan seterusnya puluhan buah kenderaan kenamaan memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tiada satu kenyataan rasmi dikeluarkan memaklumkan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada pemerintahan di negara ini.

Malah, ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti sama ada kerajaan mahu pun pembangkang yang menghadiri satu majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam tadi tetap ketat menutup mulut masing-masing. – MalaysiaGazette