Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Disebabkan semua ahli parlimen menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bakal Perdana Menteri kelapan mungkin menjadikan kepimpinan negara akan hanya ada seorang sahaja ahli parlimen pembangkang.

Ahli parlimen pembangkang itu ialah Datuk Seri Najib Razak mewakili Pekan, kata peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

“Akhirnya kerajaan Malaysia akan wujud dengan hanya seorang pembangkang (Najib) yang lain semua sokong Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan termasuk (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim),” katanya dalam kenyataannya semalam.

Najib sebelum ini dilaporkan menandatangani surat akuan sumpah (SD) menyokong Mahathir dengan bersyarat namun tetapi dinafikan bekas perdana menteri itu yang mendakwa tidak pernah menyatakan kepada portal yang menyiarkan berita berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan bertemu dengan semua 222 Ahli Parlimen untuk mendapatkan pengesahan siapa yang memiliki sokongan majoriti sebagai perdana menteri.

“Mungkin Mahathir atau mungkin juga Anwar. Semua ini adalah persendaan kepada intelektual rakyat. Lebih baik bubarkan Parlimen,” katanya lagi.

Mengulas senario semasa, Mohd. Khairul juga memberitahu, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan pelantikan perdana menteri interim.

Beliau berkata, walaupun tanpa Perdana Menteri, kerajaan Malaysia masih boleh terus berfungsi diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Apa yang berlaku sekarang ini adalah di luar perimeter Perlembagaan Mahathir kini hanya seorang ahli parlimen, tidak lebih daripada kedudukan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai peletakan jawatan Mahathir sebagai Perdana Menteri tetapi pada masa sama mendapat perkenan YDPA sebagai Perdana Menteri interim.

Semalam, KSN, Datuk Seri Mohd Zuki Ali menyatakan, Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-ustafa Billah Shah, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri interim, Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet baharu dibentuk.

Kira-kira jam 1 tengah hari semalam, Mahathir telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenapa tiba-tiba petik nama saya? – Najib