Graduan jurusan kejuruteraan tersebut yang memakai T-shirt berwarna hitam dengan wajah tenang mengaku tidak bersalah ketika dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

KUALA LUMPUR – Graduan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana protes ketika Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) pada 14 Oktober tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Wong Yan Ke, 24, didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang menyebut dia telah dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menggugat keamanan.

Yan Ke kini berhadapan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Graduan jurusan kejuruteraan tersebut yang memakai T-shirt berwarna hitam dengan wajah tenang mengaku tidak bersalah ketika dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Majistret Fardiana kemudian membuat keputusan membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Mac untuk sebutan kes.

Dalam kejadian 14 Oktober tahun lalu, Yan Ke yang juga graduan kejuruteraan awam bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen universiti itu.

Graduan terbabit turut melaungkan perkataan itu sambil menjerit, ‘Ini Tanah Malaysia’.

Tindakan siswa itu melanggar protokol istiadat dan mengganggu konvokesyen UM.

Dalam plakad itu, Yan Ke turut menyenaraikan mengapakah Naib Canselor, Dr Ir. Abdul Rahim Hashim perlu meletakkan jawatan kerana mendakwanya rasis, mencabul kebebasan akademik,  ‘boneka politik’ serta telah gagal dalam menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Pihak pentadbiran UM yang membuat laporan polis berikutan tindakan Yan Ke itu juga menyifatkan perbuatan dan tindakan graduan itu jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancarannya.

Ia juga, katanya, telah mencemarkan nama baik UM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juga para graduan dan seluruh warganya.

“Sebagai sebuah universiti yang diiktiraf dunia selaku antara yang terbaik, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara,” kata UM dalam kenyataan sebelum ini. –MalaysiaGazette

Provokasi graduan protes Naib Canselor UM sertai Kongres Maruah Melayu

2 Komen

Comments are closed.