Datuk Sri Azam Baki

IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau rapi perkembangan politik semasa tanah air bagi mengesan jika terdapat sebarang kesalahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pada masa sama pihaknya mengingatkan mana-mana ahli Parlimen supaya tidak menawarkan atau menerima sebarang bentuk suapan bagi sesuatu jawatan.

“Mana-mana ahli Parlimen yang menawarkan, memberi atau menerima apa-apa bentuk suapan daripada mana-mana pihak mengikut kepentingan diri bagi sesuatu jawatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini belum terdapat kesalahan yang dikesan berhubung kesalahan itu, namun pihaknya sedang melakukan pemantauan secara rapi.

Katanya, SPRM akan melakukan siasatan tanpa kompromi sekiranya menerima laporan berhubung kesalahan berbentuk rasuah dalam kalangan ahli Parlimen.

Kemelut politik negara tercetus selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Feb lepas diikuti dengan pengumuman meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu, satu daripada empat parti komponen PH, yang kemudiannya keluar daripada pakatan itu.

Pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim serta membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka akan menerima menghadap kesemua 222 anggota Dewan Rakyat untuk ditemuduga ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bagi mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temuduga yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 ahli Parlimen untuk sesi hari semalam dan 132 lagi bagi sesi hari ini.

— BERNAMA