Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak tidak mengira parti dan individu agar menghormati proses yang sedang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, proses tersebut berlangsung mengikut kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Kita kena menghormati proses yang sedang berjalan. Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara.
“Dan proses ini sedang berjalan dan kita sebagai Ahli-ahli Parlimen harus menghormati proses yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dengan nada tenang kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Hotel Sofitel.