KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan 2020.
Untuk itu, syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan agensi awam akan mempercepatkan projek pelaburan termasuk Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) akan membuka untuk bidaan janakuasa tenaga solar 1,400MW.
Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja, kata Perdana Menteri Interim semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi berkenaan menangani Covid-19 hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion, termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung.
Menurut Perdana Menteri Interim itu, bagi meningkatkan daya saing, kerajaan akan mempromosi pelaburan sektor swasta yang bernilai tambah yang lebih tinggi dengan memperuntukkan RM500 juta untuk Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan, yuran penyenaraian di papan Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE), serta syarikat yang bermodal pasaran
kurang RM500 juta yang ingin tersenarai dalam papan utama.
Manakala BNM akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta.
Beliau memberitahu, kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.
Kerajaan juga akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000.
Selain itu, mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020. – MalaysiaGazette