SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM) melaksanakan enam projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi tahun 2020 dengan kos yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion.

NFCP ini yang bertujuan untuk mengurangkan jurang digital melalui perluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain terlibat dalam menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

Keenam-enam projek NFCP ini akan menambah baik kesalinghubungan digital di seluruh negara, selain memastikan kesinambungan pelaburan awam kepada industri melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

SKMM akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di bawah NFCP selaras dengan Pakej Rangsangan
Ekonomi 2020 khususnya Strategi III: Menggalakkan Pelaburan Berkualiti.

Kesemua enam projek NFCP merangkumi penyediaan perkhidmatan selular awam dan jalur lebar talian tetap di seluruh negara dan mampu melonjakkan tahap sosio-ekonomi rakyat.

Terdapat juga manfaat langsung kepada keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan komunikasi, kontraktor tempatan, penyedia infrastruktur dan peralatan serta penyedia perkhidmatan penyelesaian.

NFCP akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri-industri berkaitan di samping mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu seperti yang dianggarkan oleh MCMC, sepanjang tempoh pelaksanaan lima tahun bermula dari tahun 2019.

SKMM berkata, NFCP 1 yang telah bermula pada 15 Februari 2020 dan NFCP 2, yang pada masa ini dalam proses penerimaan dokumen cadangan daripada pemegang-pemegang lesen yang layak, akan meluaskan liputan perkhidmatan selular awam di pelbagai negeri di seluruh negara.

‘NFCP 3 menyasarkan untuk menyediakan rangkaian gentian optik dan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga
500Mbps di 100,000 premis komersial dan kediaman,” katanya.

Premis-premis ini berada di 74 buah bandar yang terdapat di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, antaranya Kudat (Sabah), Serian (Sarawak), Labis (Johor), Sekinchan (Selangor), Baling (Kedah), Lenggong (Perak), Bera (Pahang) dan Bachok (Kelantan).

Dokumen Permintaan untuk Cadangan untuk NFCP 3 pula telah dikeluarkan pada 14 Februari 2020 dan tarikh akhir untuk menghantarnya adalah pada 12 Mei 2020. – MalaysiaGazette