KUALA LUMPUR – “Semuanya okay, alhamdulillah,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditanya pemberita tentang mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung semalam.
Wan Azizah meninggalkan kediaman di Segambut pada jam 10.38 pagi untuk melawat ibunya, Datin Mariah Khamis.
Hadir ke kediaman Azizah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi ini ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Politik Presiden PKR itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Terdahulu malam tadi Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat tergempar selepas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Selepas kembali menjadi Pengerusi Bersatu semalam, Dr. Mahathir hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen parti itu di Yayasan Al-Bukhary.
Pertemuan itu dipercayai membincangkan perkembangan semasa politik tanah air selepas Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan pada Isnin lalu. – MalaysiaGazette