KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa beliau sebenarnya telah mempunyai sokongan seramai 114 daripada 222 Ahli Parlimen Dewan Rakyat bagi menjawat jawatan Perdana Menteri ke-8.
Beliau membuat pendedahan itu menerusi satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar di pejabatnya di Yayasan al Bukhary sebentar tadi.
Kata Tun Mahathir, kesemua Ahli Parlimen Itu juga telah menyokong beliau dalam bentuk Akuan Berkanun (SD).
“Selain itu juga ada surat-surat rasmi dari ketua-ketua parti yang akan saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya juga telah menyediakan surat untuk dihantar kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli Parlimen yang diberikan kepada saya.
“Saya berharap DYMM YDPA akan menerima surat serta penjelasan saya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi Itu juga mendedahkan, sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) beliau beserta lima lagi Ahli Parlimen parti tidak menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini menjadikan jumlah sokongan Bersatu seperti yang dipersembahkan oleh Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tidak tepat.
“Enam orang itu juga telah menandatangani SD yang mengatakan mereka tidak menyokong Muhyiddin Yassin.
“Antaranya, saya Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ir Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Eddin Syazlee Shith.
“Kesemua mereka menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri ke-8,” ujarnya lagi.
-MalaysiaGazette
Medey oh Medey! Terima lah hakikat…mula2 nape ko letak jawatan? kemudian kenapa ko tak nasihatkan Agong bubar parlimen? dan akhirnya kenapa masa Agong jumpa ko banyak kali ko tak bawak SD & bukti tu? Ni Agong dah perkenan ko sibuk meroyan? tobat lah Atok sementara sempat lg..biarkan Bang Non tu mampus dgn DAP sorang2..tak kan Atok lupa Bang Non & DAP tikam blkg kelmarin? hanya sbb Atok tak mai meeting; Bang Non calonkan diri sendiri sbg PM; Guan Eng & Kit Siang plak kutuk Atok diktator; tetiba depa mai jilat balik…Atok dah lupa ka? Rakyat tak lupa Tok..