Shan Saeed
KUALA LUMPUR – Mengekalkan kestabilan makroekonomi akan menjadi agenda utama bagi Tan Sri  Muhyiddin Yassin, yang diumumkan sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, kata Ketua Ekonomi IQI Global Shan Saeed.

Beliau berkata, ini adalah untuk meletakkan Malaysia dalam radar pelabur global dan mengekalkan kekukuhan momentum pertumbuhan.

“Pada pandangan saya, di bawah pentadbiran perdana menteri baharu, kerajaan akan kekal komited mencapai hasil ekonomi yang lebih padu berdasarkan kepada meningkatkan kehidupan rakyat, menurunkan inflasi harga dan paling utama mengekalkan keyakinan ekonomi bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke dalam negara.

“Pentadbiran akan meneruskan dasar fiskal pengembangan dalam jangka masa pendek dan kemudiannya beralih kepada mengikuti dasar monetari. Perniagaan dan pelabur tempatan boleh mengharapkan sokongan daripada kerajaan bagi menyediakan insentif untuk bersaing di peringkat global.

“Pasaran sepatutnya pulih semula kerana perdana menteri baharu telah diumumkan dan keadaan tidak menentu telah berakhir. Pasaran akan memantau dengan rapat siapa yang akan menjadi menteri kewangan dan menteri ekonomi bagi mengukur impak dasar yang dilaksanakan oleh mereka yang terpilih ini,” katanya kepada Bernama TV semasa dihubungi hari ini.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan.

Seri Paduka membuat keputusan itu sejajar dengan artikel 40(2)(a) dan artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi asas bahawa Muhyiddin mungkin mendapat kepercayaan majoriti dalam Parlimen, demikian menurut kenyataan daripada Istana Negara.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

 Muhyiddin akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok.

Sementara itu, Dr Oh Ei Sun, felo kanan di Singapore Institute of International Affairs, berkata: “Sekarang ini beliau (Tan Sri Muhyiddin) ditawarkan menjadi perdana menteri, beliau perlu menyedari bahawa rakyat memilh kerajaan yang bersih.

“Jadi beliau perlu memastikan kerajaan baharu akan terus menjadi kerajaan sederhana seperti kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya.

Dr Oh berkata Muhyiddin juga perlu tidak memasukkan ke dalam senarai Kabinet ahli parlimen yang terkenal dengan mentaliti pelampau dan perkauman.

“Hanya dengan itu beliau boleh memulihkan keyakinan terhadap kerajaannya dan keseluruhan sistem politik,” katanya.

Bekas setiausaha politik (bekas) menteri besar Johor Saiful Abdullah yang mengucapkan tahniah di atas pelantikan Muhyiddin itu berkata ”Dengan pelantikan ini diharapkan pergolakan politik negara yang berlaku dalam beberapa hari lepas akan berakhir.

“Penyelesaian terbaik bagi negara telah dicapai, terutamanya bagi rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette