Membiayai sebuah pasukan tentera sememangnya memerlukan perbelanjaan besar tetapi mengandaikan keselamatan akan terpelihara sepanjang masa juga bukan tanggapan yang betul.-Gambar hiasan.

ISU kelewatan penghantaran helikopter MD530G yang dibeli Tentera Darat (TD) yang tertunda sejak tiga tahun lalu hampir selesai berikutan persetujuan kerajaan agar program perolehan pesawat ini diteruskan. Pastinya, berita ini amat baik bagi TD yang meraikan sambutan Hari Ulangtahun ke-87 hari ini, 1 Mac.

Perolehan helikopter peninjau ringan buatan firma MD Helicopter Inc dari Amerika Syarikat (AS) bakal menggandakan keupayaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

MD530G adalah pesawat yang terbaik dalam kelasnya dan merupakan versi terkini dalam keluarga MD530. Malaysia merupakan pembeli pertama versi ini diikuti Lebanon. Helikopter ini boleh dipasang dengan pelbagai sistem persenjataan seperti mesingan, pod pelancar roket dan sistem peluru berpandu anti kereta kebal Hellfire.

Ini membolehkan MD530G berperanan sebagai pemusnah kereta kebal atau ‘tank killer’ yang perlu digeruni musuh.

Jika semuanya berjalan lancar, satu pasukan tim teknikal TD akan terbang ke AS minggu hadapan. Tim ini juga akan menyelesaikan beberapa perkara seperti hal kontrak, penerbangan dan persenjataan.

Ia disusuli dengan penghantaran juruterbang bagi mengikuti latihan penyesuaian serta kru teknikal. Pesawat ini nanti akan ditempatkan di Sabah bagi membantu operasi pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepertimana yang dirancang semasa perolehannya dahulu.

Perolehan helikopter ini yang dimeterai pada tahun 2015 dengan kontrak bernilai RM300 juta sepatutnya diterima tiga tahun lalu sebelum berhadapan dengan masalah.

Pengoperasian helikopter ini juga adalah bagi menggantikan empat buah helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri milik PUTD yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini.

Menginjak usia 87 tahun, TD sedang diperkasakan sesuai dengan keperluan semasa selain sebagai persediaan menghadapi ancaman akan datang. Sebab itu, berikutan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, TD telah memperkasakan pertahanan di Malaysia Timur menerusi penubuhan Task Force 450 pada tahun 2014 yang diikuti penubuhan Divisyen Kelima Infantri (5 Div Inf) pada September lalu.

Divisyen ini yang menaungi Briged Kelima Infantri bertempat di Kem Paradise, Kota Belud dan Briged ke-13 Infantri (Kem Cenderawasih, Lahad Datu) kini menjadi benteng pertahanan TD di Negeri Di Bawah Bayu.

Penubuhan divisyen baharu ini juga sejajar dengan keperluan memperkemas struktur organisasi TD untuk mempertahankan dua wilayah serentak melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Bagi pertahanan di Sarawak pula, tugas digalas oleh Divisyen Pertama Infantri yang menaungi Briged ke-3 Inf, Briged ke-9 Inf dan Briged ke-31 Inf.

Keseluruhannya, terdapat 133 buah kem tentera di seluruh negara termasuk 109 buah di Semenanjung. Tanggungjawab TD juga adalah bagi mengawasi perbatasan negara sepanjang 550 kilometer (km) di sempadan Malaysia-Thailand dan kira-kira 2,100km batas sempadan merentasi Sabah/Sarawak-Kalimantan.

Dengan kekuatan kira-kira 95,000 anggota tentera profesional, TD merupakan sebuah ketumbukan bersaiz sederhana yang masih memerlukan suntikan pemodenan. Bagaimana pun, kelembapan ekonomi semasa sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rancangan tersebut.

PUTD misalnya perlu mendapatkan helikopter pengganti bagi memikul tugas-tugas pengangkutan taktikal dan logistik TD kerana tugas ini tidak boleh disandarkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mempunyai penugasan tersendiri. Helikopter yang diperlukan juga hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti Nuri.

Pembesaran briged dan divisyen TD di Sabah juga turut memerlukan penambahan aset-aset bagi melengkapi keupayaan tempur sebenar Markas Pemerintahan Timur. Ini termasuk aset-aset armor, mekanise dan artileri. Ini belum mengambil kira keperluan melengkapkan briged sedia ada di Semenanjung, misalnya briged armor yang tidak mempunyai rejimen artileri mudah gerak atau self propelled artillery.

Sebelum ini pembelian 24 unit sistem artileri mudah gerak M109A6 dari AS telah pun diumumkan tiga tahun lalu, bagaimana perkembangan seterusnya tidak diketahui. Begitu juga 18 sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm. Perolehan Nexter yang dimeterai pada DSA 2018 sepatutnya dirancang untuk dibekalkan kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) turut mengintai untuk dilengkapkan dengan sistem persenjataan yang lebih baik bersesuaian dengan trend ancaman serangan udara semasa. Kebanyakan sistem persenjataan milik GAPU berusia 20 tahun. Sistem peluru berpandu Jernas misalnya dibeli pada tahun 2000 bagi menangkis serangan udara aras rendah.

Terbaharu, pasukan itu dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu Starstreak bagi menggandakan lagi keupayaan pertahanan udara aras amat rendah sedia ada. Bagaimana pun, jumlahnya masih kecil.

Mengikut perancangan, GAPU perlu dipertingkatkan dengan sistem peluru berpandu peringkat menengah sesuai dengan tanggungjawab pasukan ini memberi payung perlindungan terhadap ketumbukan TD termasuk lokasi aset-aset strategik negara. Bagaimana pun, faktor kewangan menghadkan perkara tersebut.

Membiayai sebuah pasukan tentera sememangnya memerlukan perbelanjaan besar tetapi mengandaikan keselamatan akan terpelihara sepanjang masa juga bukan tanggapan yang betul.

Seperti orang sakit, ubat hanya untuk memulihkan kesakitan tetapi penyakit sebenarnya boleh dielakkan jika tidak mengabaikan kesihatan. Begitu juga pertahanan. Selamat ulangtahun TD ke-87. – MalaysiaGazette


Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.