Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 8 di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibidas kerana didakwa mengelirukan orang ramai.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof berkata, tindakan Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih ‘berkuasa’ dalam parti tidak boleh diterima.

Jelas Mohd. Redzuan, peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi parti baru-baru ini menjadikan bekas perdana menteri itu bukan lagi ‘berkuasa’ seperti dahulu.

Ini kerana sekiranya mahu dilantik semula menjadi pengerusi, cadangan itu perlu diluluskan oleh mesyuarat agung Bersatu mengikut peraturan parti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pagi ini.

Menurut Mohd. Redzuan, buat masa ini, Muhyiddin sebagai presiden dan beliau paling layak memangku jawatan pengerusi parti.

“Apa yang setiausaha agung (Marzuki) buat hari ini melanggar peraturan dan saya nasihatkan dia berhenti buat kenyataan mengelirukan ahli dan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya Marzuki dipecat daripada parti dan pucuk pimpinan perlu melantik penggantinya dengan segera supaya dapat meredakan keadaan.

Mohd. Redzuan juga yakin majoriti ahli parti masih bersama Muhyiddin.

Apa yang penting, pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri akan mematikan segala krisis politik yang melanda negara baru-baru ini dan juga waktu yang tepat bagi merapatkan saf kepimpinan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hanya Dr Mahathir ada kuasa mutlak dalam Bersatu – Marzuki