Sebahagian aktivis yang hadir pada Himpunan Demokrasi Mati di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 FEBERUARI 2020

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil penganjur perhimpunan Turun Ke Jalan: Demokrasi Mati dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, ia susulan pihak penganjur tidak memberi notis 10 hari kepada pihak polis sekaligus menyalahi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Kita akan membuat siasatan kerana perhimpunan diadakan tanpa memberi notis, jadi kita akan kenal pasti siapa penganjur dia dan sekiranya dikenal pasti, kita akan panggil.

“Kita akan tengok siapa yang bagi ucapan, siapa yang hadir, dan siasatan yang sewajarnya akan dibuat.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9(1) di bawah APA2012,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Merdeka malam tadi.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa dan beberapa individu pro Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan perhimpunan Turun Ke Jalan: Demokrasi Mati di Dataran Merdeka yang bermula jam 8.30 malam tadi.

Perhimpunan haram itu didakwa dianjurkan secara bersama oleh badan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 susulan hebahan dibuat di laman Facebook milik pertubuhan itu.

Menurut Mohd Fahmi, meskipun pihak penganjur gagal memberi notis namun PDRM tetap menjaga keselamatan orang ramai di Dataran Merdeka.

“Pihak polis tetap datang dan jaga keselamatan untuk memastikan tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Kita juga mahu memastikan tiada gangguan kepada ketenteraman awam,” katanya.

Katanya lagi, sepatutnya orang ramai tidak berhimpun membuat bantahan melalui perhimpunan itu kerana YDPA sudah membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan negara.

“YDPA sudah buat keputusan, apa gunanya lagi untuk kita mempertikaikan kuasa Agong.

“Kita sebagai rakyat sepatutnya akur kepada keputusan Agong itu, jangan pula datang dan pertikaikan kuasa Agong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette