Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melambaikan tangan kearah pengamal media diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang selepass sidang media sempena kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan pemeriksaan mengejut kepada anggota tentera yang disyaki penagih dadah.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendy Buang berkata, ia merupakan proses berterusan pihak berkuasa kedua-dua angkatan keselamatan untuk memastikan anggota tentera mahupun polis bebas dadah.

Penghapusan dadah dalam kalangan warga pihak berkuasa adalah satu proses berterusan dan ujian saringan air kencing, pemantauan dan tangkapan sentiasa dilakukan.

“Walaupun kami memberi satu hukuman berat kepada sesiapa yang mendapati menggunakan dadah dalam kalangan tentera tapi perkara ini tidak dapat dihentikan 100 peratus.

“Sentiasa ada anggota yang ingin mencuba dadah disebabkan keadaan persekitaran dan situasi itu berlaku.

“Kami dalam kedudukan mencari cara terbaik sebaik mungkin dan sebagai satu angkatan keselamatan utama negara, walaupun angka itu kecil, tetapi ia masih dianggap serius sebab melibatkan anggota keselamatan yang mempertahankan negara,” katanya dalam sidang media khas sempena kunjungan hormat beliau kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman hari ini.

Kunjungan hormat berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan dua agensi keselamatan selain dapat menjamin tugas masing-masing sebaik mungkin.

“Seperti ketahui kedua dua pihak dalam menjalankan tugas semestinya ada isu-isu timbul yang mana perlu diselaras dan dipersetujui secara berterusan dan kesefahaman akrab ini akan memudahkan proses kerja.

“Dalam perjumpaan hari ini, kami sebulat suara mengambil ketetapan PDRM dan ATM akan sentiasa menjamin rakyat bahawa keselamatan dalam dan mempertahankan perbatasan kita daripada ancaman anasir luar dapat dibendung sebaiknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamid Bador berkata, pihak JSJN Bukit Aman akan sentiasa bekerjasama rapat sebagai membantu ATM untuk menjalankan pemeriksaan bersama secara mengejut ke atas semua warga ATM yang disyaki atau dikesan terlibat pengambilan dadah.

“Usaha itu akan digandakan untuk memastikan polis baik anggota tentera benar-benar bebas dari najis dadah. Kalau lihat dalam PDRM sahaja anggota lebih 300 orang terlibat dadah dan misi kami hendak memastikan anggoat bebas dadah sepenuhnya dan kami akan komited untuk memastikan ia dicegah sepenuhnya kerana disiplin anggota kami penting,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast