ISKANDAR PUTERI – Galeri Anjung Warisan dan Kesenian Islam (Aura Islam) di Anjung Neighbourhood Centre di Iskandar Puteri, Johor menyasarkan kira-kira 500,000 orang pengunjung ke pameran koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW di galeri itu sepanjang tahun ini.
Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn Bhd (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakan lebih 5,000 pengunjung sejak dibuka September lalu.
Beliau berkata, selain tarikan utama galeri apaila mempamerkan lebih 120 koleksi artifak yang mampu memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.
“Manhajj Brothers mensasarkan lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi galeri ini tahun ini lebih-lebih lagi bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.
”Ketika ini, kami menerima kehadiran pengunjung bukan sahaja dari warga tempatan malah dari Indonesia dan Kemboja.
“Tarikan utama pameran ini adalah koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW, galeri ini turut menambilkan beberapa koleksi artifak para sahabat baginda, koleksi empayar kerajaan Uthmaniyyah dan Abbasiyah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penghargaan Aura Islam kepada Jabatan Mufti Negeri Johor dan perasmian logo rasmi Aura Islam di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi Manhajj Brothers Mohamad Yusof Mohd Surid.
Anuar berkata dengan slogan ‘Not Just A Destination, It Is A Priceless Experience’, galeri yang dibuka sehingga Nov 2021 itu mampu mendidik orang awam bagi mengenali dan menghayati keagungan Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata antara yang dipamerkan termasuk capal, celak, rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, bekas tapak kaki, pasir makam serta kunci makam Rasulullah.
Turut dipamerkan, beberapa kiswah kaabah, tandu, Al-Quran emas, senjata serta kelengkapan perang peninggalan kerajaan Uthmaniyyah, katanya.
Anuar memberitahu, galeri tersebut dibuka setiap hari mulai 10 pagi hingga 10 malam dengan tiket berharga RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi warga emas, kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, Orang Kurang Upaya serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, Yahya ketika berucap pada majlis itu berkata Jabatan Mufti Negeri Johor menyokong penuh usaha Manhajj Brothers dalam mengendalikan galeri tersebut.
“Semasa syarikat ini memohon kebenaran untuk mempamerkan artifak ini, saya amat berlapang dada.
”Justeru, saya menyeru bukan sahaja rakyat tempatan malah dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Mindanao (Filipina) untuk merebut peluang mengambil kesempatan menyaksikan artifak yang dipamer di sini dalam menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah,” katanya. – MalaysiaGazette