ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini apabila ekuiti Malaysia turut terjejas oleh penurunan ekuiti global susulan prestasi lemah di Wall Street pada Jumaat minggu lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 22.83 mata atau 1.54 peratus kepada 1,459.81 daripada paras penutup 1,482.64 pada Jumaat.

Ini merupakan paras terendahnya sejak 29 Nov, 2011, apabila indeks utama Bursa ditutup pada 1,444.72.

Pada paras pembukaan, FBM KLCI dibuka 11.30 mata lebih rendah kepada 1,471.34.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 329 berbanding 108, dengan 150 kaunter tidak berubah, 1,411 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 345.71 juta saham bernilai RM197.31 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur beralih kepada mengelak risiko selepas Wall Street mencatatkan penurunan mingguan terbesarnya sejak Oktober 2008 pada Jumaat minggu lepas berikutan kebimbangan terhadap wabak Covid-19.

“Pakej rangsangan bernilai RM20 bilion gagal untuk menyekat penjualan.

“Dalam masa yang sama, aliran keluar dana asing daripada ekuiti Malaysia juga memburukkan lagi prestasi ekuiti Malaysia dan kami menjangka situasi ini tidak akan pulih dalam masa terdekat ini,” kata firma pembrokeran itu.

Tanpa sebarang petanda pemulihan, Malacca Securities menjangka keadaan turun naik akan berlarutan kerana indeks utama meneruskan momentum menurunnya.

“Buat masa ini, sekiranya paras 1,480 gagal bertahan, sokongan seterusnya akan kekal pada paras 1,425. Sebarang pemulihan daripada aktiviti membeli saham berharga rendah mungkin hanya sementara ke arah paras 1,500-1,515,” kata firma itu.

Dari segi teknikalnya, Malacca Securities berkata paras ketahanan akan berada pada 1,500-1,515, manakala paras sokongan pada 1,470.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank susut 22 sen kepada RM8.20, Public Bank turun 74 sen kepada RM16.36, IHH jatuh empat sen kepada RM5.66, CIMB berkurangan 13 sen kepada RM4.69 manakala Tenaga naik 18 sen kepada RM12.28.

Dalam kalangan kaunter cergas, Eden naik 13 sen kepada 32.5 sen, MyEG meningkat sembilan sen kepada RM1.21, Datasonic menokok 13 sen kepada RM1.20, manakala Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 17 sen dan Iris berkurangan satu sen kepada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 147.28 mata kepada 10,33148, Indeks FBM Emas Shariah susut 84.20 mata kepada 11,036.95 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 147.95 mata kepada 10,152.85.

FBM 70 turun 140.99 mata kepada 12,732.93 dan FBM Ace susut 111.07 mata kepada 5,127.22.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.53 mata kepada 130.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 294.46 mata kepada 14,036.19 manakala Indeks Perladangan susut  20.13 mata kepada 6,789.61.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast