Reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas hadir pada perbicaraan 47 pertuduhan kesnya melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau menerima jemputan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam untuk pertemuan di sana pukul 12.30 tengahari ini.

Namun bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tiba lewat di sana sekitar pukul 12.45 tengahari.

Menurut beliau, pertemuan itu kebiasaannya dalam kalangan ketua parti politik untuk membincangkan senarai Kabinet baharu.

“Saya terima surat jemputan dari PMO semalam dan diarah datang berjumpa pukul 12.30 tengahari hari ini. Tapi saya terlewat sampai pukul 12.45 tadi.

“Kebiasaannya jika ada Kerajaan baharu, ketua-ketua parti politik akan dijemput Perdana Menteri untuk berbincang mengenai senarai Kabinet baharu.

“Namun tidak boleh dedah secara terperinci kerana ada pihak media dan bukan untuk hebahan awam serta ia sulit dan persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk memberi penjelasan tentang permohonan penangguhan kes perbicaraannya pagi tadi bagi pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pembentukan Kabinet baharu.

Collin telah memanggil semula Ahmad Zahid untuk menyambung kes perbicaraan petang ini selepas PMO menafikan perjumpaan berkenaan.

PMO menjelaskan tiada sebarang perjumpaan atau mesyuarat dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini.

Dalam satu kenyataan ringkas, PMO memaklumkan Muhyiddin telah dijadualkan bertemu Ketua Setiausaha Negara dan ketua-ketua jabatan/agensi bagi menyelaraskan perjalanan pentabdiran kerajaan.

Sementara itu, Collin telah mengarahkan Ahmad Zahid menunjukkan surat jemputan PMO itu esok pagi sebelum kes perbicaraannya disambung semula.

Hakim Mahkamh Tinggi itu berkata, keputusan sama ada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghina mahkamah akan dibuat selepas itu.

Sebelum itu, peguam bela beliau, Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahannya memberitahu pihaknya tidak mempunyai niat untuk berbohong di mahkamah.

Jelas beliau, pihaknya hanya tersalah menggunakan ayat iaitu pembentukan Kabinet baharu ketika memohon kes perbicaraan ditangguhkan pagi tadi.

“Anak guam kami cuba bertemu Perdana Menteri di Putrajaya namun hanya sempat berjumpa Setiausaha Politik beliau sahaja.

“Namun tiada perjumpaan diadakan kerana beliau sudah bergerak ke Muar,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan pendakwaan yang diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Ahmad Zahid telah berbohong dan perlu didakwa kerana telah menghina mahkamah.

Tegas beliau, memohon penangguhan kes perbicaraan dengan berbohong tidak boleh diterima sama sekali.

“Jika boleh berbohong seperti ini, beliau akan berbohong lagi di mahkamah pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.