PUTRAJAYA – Sebanyak 14 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan berlaku sehingga tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 50 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan jangkitan kes ke-26 iaitu salah seorang Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA).
“Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua bermula pada 27 Februari 2020.
“Bagi gelombang kedua sehingga 4 Mac 2020, terdapat sebanyak 28 kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50) yang telah dilaporkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, disebabkan kes 26, seramai 16 individu dikesan positif Covid-19 daripada 215 kontak rapat yang dikesan Kementerian Kesihatan.
Daripada jumlah kontak itu, 19 individu adalah negatif dan 180 lagi menunggu keputusan saringan.
Dr Noor Hisham turut menolak dakwaan bahawa kes 26 adalah penyebar utama kepada penyebaran Covid-19.
Malah katanya, kes 26 tidak boleh diklasifikasikan sebagai penyebar utama namun ia adalah kes yang luar biasa.
“Tidak boleh panggil ia sebagai penyebar utama lagi sebab jika di Korea Selatan kes 31 telah menjangkiti lebih daripada seribu pesakit.
“Di negara ini, cuma 16 kes positif dilaporkan dan disahkan oleh kes 26. Saya boleh katakan ini agak luar biasa berbanding kes lain. Tapi kita sedang jejaki kontak lain dan asingkan kes 26,” katanya. -MalaysiaGazette