KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia khususnya pihak berkuasa perlu memantau dan menyekat pergerakan Global Bersih yang didakwa melakukan tindakan radikal hingga boleh menghancurkan negara.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya berkata, antara tindakan itu ialah penganjuran kempen #RespectMyVote bagi memprotes pelantikan Perdana Menteri Ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Saya menyeru kerajaan agar memantau dan sekat segala pergerakan mereka di dalam negara kerana tindakan-tindakan radikal mereka hanya akan menghancurkan negara.
“Mungkin mereka lupa, apa yang berlaku ini adalah salah puak-puak mereka yang gila kuasa dan asyik bertelagah sesama sendiri, bukannya salah orang lain.
“Rakyat harus berhati-hati dengan fitnah-fitnah yang akan dibawa oleh mereka yang sebenarnya bermotifkan kepuasan nafsu mereka sahaja.
“Sama-samalah kita pelihara nama baik negara. Jika tidak bersetuju dengan sesuatu pun, berpada-padalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas laporan media hari ini bahawa Global Bersih akan melancarkan kempen #RespectMyVote bagi membantah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 di peringkat antarabangsa.
Pertubuhan itu didakwa akan menjadikan komuniti rakyat Malaysia yang menetap di luar negara sebagai penggerak utama kempen tersebut.
Dalam pada itu, Aminuddin juga mempersoalkan motif Global Bersih yang merupakan strategi yang didokong oleh pihak-pihak luar terutamanya barat untuk meruntuhkan sesebuah negara yang bertapak di Geneva.
“Mengapakah Global Bersih ini hanya berdiam diri apabila berlaku kes-kes besar yang berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Adib, komunis, LTTE dan sebagainya sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dulu?
“Jika benar mereka memperjuangkan keadilan dan membawa mesej perjuangan untuk negara, mengapakah mereka senyap apabila kes Lim Guan Eng digugurkan, kes Adun DAP dituduh merogol, kes-kes penghinaan Raja-Raja dan agama Islam yang merupakan agama negara?
“Yang paling penting, manakah ‘gerakan’ mereka ini apabila kerajaan menipu segala manifesto dan berlakunya salahguna kuasa?” katanya lagi. – MalaysiaGazette