KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan (PACSU) menzahirkan keyakinan dan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Perdana Menteri yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Anuar Mamat berkata, pegawai awam Polis DiRaja Malaysia dan penjawat awam keseluruhannya sentiasa bersama dengan kerajaan untuk terus membangunkan negara ke arah lebih cemerlang dan berdaya maju.
Katanya, mereka juga sangat komited untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat dan negara.
“Walaupun kerajaan bersilih ganti, namun pegawai perkhidmatan awam tetap teguh berkhidmat dan sangat setia kepada kerajaan memerintah.
“Kesungguhan dalam diri mereka tidak perlu dipertikaikan lagi bagi meneruskan perkhidmatan kepada kerajaan dalam menjaga kesejahteraan dan kecemerlangan negara ke arah negara maju di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara sejak Sabtu lalu.
Beliau menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan pada 24 Februari lalu, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan jatuh dan memberi laluan kepada Perikatan Nasional membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette
tahniah…