KUALA LUMPUR – Seramai 264 pekerja Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang diberhentikan pada 28 Januari 2020 yang lalu, masih tidak menerima bayaran Gaji Ganti Notis seperti yang dijanjikan.

Salah seorang bekas pekerja taman tema itu Azizul Mohd Noor, 37 berkata sewaktu penutupan mengejut dilakukan, pihak pengurusan memaklumkan akan membuat bayaran pada penghujung Febuari.

Namun malangnya sehingga kini ujar beliau tiada pembayaran dibuat malahan tiada perkembangan terkini berhubung pembayaran yang sepatutnya diterima oleh bekas pekerja MAPS, sebaliknya hanya alasan daripada pihak pengurusan The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP).

Lebih mengecewakan kata Azizul lagi, pekerja yang diberhentikan sama sekali tidak diberikan sebarang perkembangan terkini tentang waktu pembayaran.

Sehubungan itu mewakili rakan-rakan yang lain beliau rasa telah dianiaya kerana tidak ada pihak yang mahu bertanggungjawwab terhadap nasib mereka.

“Sampai ke hari ini saya dan rakan yang lain tidak tahu mahu tanya kepada siapa tentang macam mana gaji ganti notis itu. Bila tanya The Receiver mereka kata MAPS tidak bayar hutang lagi. Bila tanya Perak Corporation Bhd (PCB) pula kata kena tanya The Receiver.

“Kalau cakap akan beri lewat sikit tidak mengapa kita tahu juga hujung pangkal, tapi langsung tidak ada,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Keadaan yang meninggalkan tanda tanya ini bukan hanya menghimpit Azizul yang mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak yang bersekolah, malah kepada lebih kurang 80 peratus yang masih menganggur sepertinya sejak diberhentikan.

“Saya cakap ini bukan untuk saya seorang rata-rata 80 peratus belum dapat bekerja jadi, jadi sekurang-kurangnya bagilah bayaran itu,”kata Azizul yang pernah bekerja sebagai Chef di taman tema itu selama lapan bulan.

Dimaklumkan tentang kerugian yang dialami MAPS sebelum ini sehingga mengakibatkan taman tema itu tidak dapat meneruskan perniagaan, Azizul berkata ia bermula sejak pentadbiran Perak berubah sejak 2018 mengakibatkan strategi perniagaan dirombak.

“Semenjak tukar kerajaan lebih setahun banyak strategi perniagaan ditukar. Antaranya pelanggan diberi masuk percuma,” ujarnya.

Justeru beliau menyifatkan nasib ratusan bekas pekerja MAPS itu mempunyai kaitan dengan campur tangan politik.

Apa juga situasinya, Azizul berharap agar kemelut pembayaran Gaji Ganti Notis kepada ratusan bekas pekerja MAPS akan dapat diselesaikan.

Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu pembayaran ini kata beliau tidak boleh melepaskan tangan begitu sahaja.

“Saya cuma berharap ada yang boleh bersuara agar pihak pengurusan atau sesiapa bangkit isu ini agar hak kami ditegakkan. Bila diam macam ini kami rasa kami dianiaya berjanji bermain tidak serius,”tambah beliau.

Taman tema yang mula beroperasi pada 2017 dengan kos RM520 juta itu mengumumkan pemberhentian operasinya pada 28 Januari yang lalu.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Untuk rekod pada 4 Disember 2019, dilaporkan bahawa Affin Investment melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah milik ATP, yang juga operator MAPS.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast