DALAM sidang media beliau pada pagi 1 Mac 2020, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau telah dikhianati oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya telah merancang lama untuk menjadi Perdana Menteri.
Kata Dr. Mahathir: “I feel betrayed mostly by Muhyiddin, he was working on this for a long time and now he has succeeded” (Saya merasa paling dikhianati oleh Muhyiddin, dia telah lama merancang untuk merampas kuasa dan kini dia telah berjaya). Rujuk: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/
Dakwaan ini dinafikan Muhyiddin dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri pada malam 2 Mac 2020 apabila berkata: “Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas, keberadaan saya di sini untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut. Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat”. Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/
Di sebalik penafian Muhyiddin, dakwaan beliau pengkhianat terus dimainkan, malah lebih kuat lagi penyokong tegar Dr. Mahathir termasuk Datuk A. Kadir Jasin yang menulis pada pagi 4 Mac 2020: “Jadi, apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr. Mahathir, ia hanyalah semantik – antara yang tersurat dengan yang tersirat. Sekali lagi Dr. Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.” Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/513159
Muhyiddin tiada peranan dalam peletakan jawatan Dr. Mahathir
Untuk menjawab persoalan sama ada Dr. Mahathir atau Muhyiddin yang khianat, perlulah dilihat kepada susur galur yang menjadi punca kepada kemelut yang berlaku.
Fakta yang ada di hadapan kita ialah Dr. Mahathir telah beberapa kali meminta maaf berikutan tindakannya menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh kepada Yang di-Pertuan Agong pada petang 24 Februari 2020. Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157100294948652/
Dalam kenyataan khas beliau petang 26 Februari 2020, Dr. Mahathir menyebut, “Izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan tuan-tuan dan puan-puan”, dan “saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah”.
Alasan beliau, “Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan, tetapi cukuplah saya katakan saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih. Selain itu, terdapat juga tuduhan, saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa. Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai be all and end all adalah matlamat saya.” Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157106106178652/
Dalam rakaman ucapan beliau pada pagi 1 Mac 2020, Dr. Mahathir mengakui: “I decided to resign because I have lost support. So I have to resign. I have no choice. I thought that if I resign it goes back to the Agong… So that is the situation. So I would like to tell you once again I am very sorry”. (Saya memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana saya telah kehilangan sokongan. Jadi saya terpaksa meletak jawatan. Saya tiada pilihan. Saya fikir jika saya meletakkan jawatan ia akan pergi balik kepada Agong. Jadi itulah situasinya. Jadi saya ingin nyatakan kepada kamu sekali lagi saya mohon maaf”). Rujuk: https://www.kinitv.com/video/89149167-f5e7-4717-87fc-32f6ea1e3758
Alasan beliau berikan ke atas peletakan jawatan itu sekali lagi diterangkannya dalam tulisan beliau pada 3 Mac 2020: “Saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri”. Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157123474778652/
Dapat dilihat jelas daripada semua kenyataan Dr. Mahathir ini, keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah keputusannya sendiri. Walau apa sekalipun alasan, apa yang pasti pihak lain, khususnya Muhyiddin langsung tidak pernah mempengaruhi, apatah lagi memberi tekanan kepadanya untuk meletakkan jawatan.
Selepas letak jawatan, Muhyiddin masih mahukan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kembali
Sebaik sahaja Dr. Mahathir meletakkan jawatan pada petang 24 Februari 2020, Muhyiddin terus mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari 2020 yang memutuskan, “Semua Ahli Dewan Rakyat dari BERSATU telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia.” Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2807674562644418/
Begitu juga dengan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan Pas serta Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP dan Amanah, yang turut menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Begitupun, pada pagi 25 Februari 2020, Dr. Mahathir telah memaklumkan kepada semua pemimpin tertinggi parti politik yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri mengenai hasratnya untuk menubuhkan kerajaan perpaduan. Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157103343498652/
Hasrat itu beliau umumkan dalam kenyataan media khas petang 26 Februari 2020: “Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenarkan saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan. Jika diizin inilah yang akan saya cuba”. Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157106106178652/
Hasrat itu juga diakui dalam tulisannya pada 3 Mac 2020: “Saya cadang diadakan satu kerajaan nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai kerajaan. Orang parti juga akan menyertai kerajaan, tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.” Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157123474778652/
Berikutan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini, maka MN yang dianggotai UMNO dan Pas, menarik kembali sokongan mereka terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Rujuk: https://www.facebook.com/133347436726997/posts/2910683765660003/
Begitu juga dengan PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, turut menarik kembali sokongan mereka terhadap Dr. Mahathir dan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatan itu. Rujuk: https://www.facebook.com/16194831839/posts/10160220309551840/
Muhyiddin hanya ikut keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU
Dalam suasana kelam kabut tatkala Dr. Mahathir dan Anwar tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat inilah, satu mesyuarat khas antara semua ahli Dewan Rakyat BERSATU telah dilangsungkan pada pagi 28 Februari 2020. Dalam mesyuarat khas itu telah memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri. Rujuk: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2571532033119171&id=1753747611564288
Pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh ahli-ahli Dewan Rakyat BERSATU itu dibuat setelah Dr. Mahathir sendiri memberi izin kepadanya sehari sebelumnya.
Dalam sidang media pada pagi 27 Februari 2020 itu, Dr. Mahathir menyebut: “Well, there are several possibilities that we discussed, including of course the possibility that Muhyiddin might become a candidate. If everybody chooses him, I am ok. As a Prime Minister, ya. If he wins, he goes to Parliament and he is given full majority then he has the right to become the prospective Prime Minister and Agong can appoint him. He can be sworn in and of course he can form his cabinet… Whoever wins I will accept the appointment as the Prime Minister.” (Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon. Jika semua orang memilih beliau, saya ok. Ya, sebagai Perdana Menteri. Jika beliau menang, beliau pergi ke Parlimen dan beliau diberikan majoriti penuh, maka beliau berhak untuk menjadi Perdana Menteri dan Agong boleh melantik beliau. Beliau boleh mengangkat sumpah dan beliau boleh membentuk kabinetnya. Siapa sahaja yang menang saya akan terima lantikan sebagai Perdana Menteri). Rujuk: https://www.facebook.com/astroawani/videos/187383095875564/
Dalam kenyataan media pagi 29 Februari 2020 pula, Dr. Mahathir mengesahkan beliau memberi kebebasan kepada semua ahli Dewan Rakyat BERSATU untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri dengan menyebut: “I left the meeting early to allow for a free debate among members of Parliament from BERSATU to choose whomever they feel is suited for the post of Prime Minister” (Saya meninggalkan mesyuarat (semua ahli Dewan Rakyat PPBM) awal untuk membolehkan satu perbahasan terbuka antara ahli-ahli Dewan Rakyat BERSATU untuk memilih sesiapa sahaja yang sesuai bagi jawatan Perdana Menteri). Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157113778073652/
Pada masa sama, dalam kenyataan media 29 Februari 2020, Dr. Mahathir secara tiba-tiba mengumumkan: “This morning I had a meeting with leaders of Pakatan Harapan. I am now confident that I have the numbers needed to garner majority support in the Dewan Rakyat. I am therefore prepared to stand as prospective candidate for Prime Minister.” (Pagi ini saya telah bermesyuarat dengan para pemimpin PH. Saya sekarang yakin saya mempunyai nombor yang mencukupi untuk mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Oleh itu saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri). Rujuk: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157113778073652/
Dr. Mahathir atau Muhyiddin yang khianat?
Persoalan sama ada Dr. Mahathir atau Muhyiddin yang khianat boleh diselesaikan dengan kembali kepada keputusan mesyuarat khas MPT BERSATU pada 23 Februari 2020.
Apakah keputusan mesyuarat khas itu pada 23 Februari 2020? Keputusannya seperti dinyatakan melalui kenyataan media Muhyiddin selaku Presiden BERSATU pada pada petang 24 Februari 2020 iaitu, “Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam mesyuarat khas yang diadakan pada 23 Februari 2020 telah membuat keputusan untuk keluar dari PH. Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2807674562644418/
Keputusan mesyuarat khas itu juga turut disahkan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya yang mengumumkan kepada media selepas satu lagi mesyuarat khas diadakan pada malam 24 Februari 2020 yang berbunyi, “Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga kita telah bersetuju untuk keluar daripada Pakatan Harapan, inilah keputusan parti dan kita akur dengan keputusan parti”. Rujuk: https://www.facebook.com/pribumibersatuofficial/videos/883627055407820/
Keputusan mesyuarat khas MPT BERSATU itu, malah diakui oleh Dr. Mahathir sendiri dalam sidang medianya pada pagi 1 Mac 2020, “Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, despite my appeal not to make a decision (di sebalik rayuan saya supaya tidak membuat satu keputusan), tetapi akhirnya BERSATU buat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan.” Rujuk: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/
Keputusan mesyuarat khas itu juga diakui A. Kadir yang menulis pada pagi 4 Mac 2020, “Maaf cakaplah kalau saya kata majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr. Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik BERSATU keluar daripada PH dan menyertai UMNO dan Pas. Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr. Mahathir adalah minoriti.” Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/513159
Oleh itu, berdasarkan segala keterangan ini, jelaslah Dr Mahathir dan bukan Muhyiddin yang khianat kepada keputusan parti. Dakwaan Muhyiddin yang khianat adalah bertentangan dengan semua fakta yang ada.
Malah, Dr. Mahathir dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary pada pagi 1 Mac 2020 mengakui beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli BERSATU bila menyebut: “That is for the party to decide whether it is going to meet and expel me as the chairman, which is likely to happen because the majority of the party rejected me as their chairman. They can obviously meet and expel me.” (Terpulang kepada parti untuk sama ada bermesyuarat dan memecat saya sebagai pengerusi, yang berkemungkinan untuk berlaku kerana majoriti ahli-ahli BERSATU menolak saya sebagai pengerusi mereka. Mereka tentunya boleh bermesyuarat dan memecat saya) Rujuk: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/
Muhyiddin yang berjiwa besar
Begitupun, di sebalik semua ini, Muhyiddin ternyata masih berjiwa besar dengan tidak mengambil pendekatan berkonfrontasi, tetapi memilih nada konsiliatori dengan masih menunjukkan sanjungan dan rasa hormat kepada Dr. Mahathir dengan berkata: “Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.” Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/
Adalah diharapkan agar Dr. Mahathir dan penyokong tegar beliau akan turut berjiwa besar dengan tidak lagi cuba menggugat keutuhan kerajaan baru pimpinan Muhyiddin selaras dengan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari 2020. Sudah pastilah panduan dan sokongan Dr. Mahathir terhadap kerajaan baru ini, selain dalam BERSATU akan sangat-sangat dihargai oleh Muhyiddin.
Tiada apa perlu dibimbangkan mengenai kerajaan baru pimpinan Muhyiddin ini.
Kebimbangan kerajaan baru akan berkompromi dengan perasuah telah ditepis melalui penegasan Muhyiddin sendiri dalam ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri pada malam 2 Mac 2020 apabila beliau berkata:
(1) “Saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber”.
(2) “Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.” Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/
Kebimbangan bahawa kerajaan baru akan menonjolkan dasar-dasar yang terlalu berbeza dengan kerajaan sebelumnya juga telah ditepis melalui penegasan Muhyiddin sendiri bila beliau berkata, “Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir) yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat”. Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/
Kebimbangan kerajaan baru akan mengenepikan orang bukan Melayu juga telah ditepis melalui penegasan Muhyiddin sendiri bila beliau berkata, “Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.” Rujuk: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/
Oleh itu, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Muhyiddin untuk membina semula negara kita dan mengembalikan kegemilangannya, paling tidak sehingga berakhirnya penggal Parlimen ini.
Khusus untuk mereka yang masih mahu berselindung di balik Dr. Mahathir, tidakkah kamu merasa sedih dengan semua hinaan yang dilemparkan kepada beliau dari PH, termasuklah “nyanyuk” dan “sakit jiwa”? – MalaysiaGazette
Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan merupakan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia.
kesimpulan nya. atas dasar perkauman sahaja perikatan.nasional ini ditubuhkan. parti melayu islam tanpa dap. kalau pn ini diterima majuriti rakyat. dap lebih baik dimansuhkan sahaja.lah. kecuali kalau rakyat dapat berfikir rasional. hidup dalam perpaduan. ph akan terus memimpin rakyat demi menentang perkauman itu.
Mansuhkan DAP. Anti Islam, anti Melayu, anti Raja2. Anti segalanya yg berkaitan dgn Melayu.
Parti paling rasis dan chauvinis. Pemecah perpaduan kaum di Malaysia. Kalau ada orang nak pecahbelahkan keluarga anda, apa yg anda akan lakukan? Biarkan dia mengambil alih kuasa dan menyatupadukan keluarga anda? Heh…
Mansuhkan DAP. Itulah yg rasionalnya.